Meta Platforms Inc., syarikat induk kepada Facebook, WhatsApp, dan Instagram, bakal pecat pekerja dalam misi untuk mengurangkan kira-kira 5% daripada tenaga kerja di seluruh dunia, lapor The Guardian.
Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, dalam memo kepada pekerja menyatakan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk “mengeluarkan pekerja berprestasi rendah dengan lebih pantas” menjelang apa yang digelarnya sebagai “tahun yang intensif.”

Meta, yang mempunyai 72,000 pekerja secara global pada akhir September 2024.
Dalam memo tersebut, Zuckerberg berkata Meta akan mempercepatkan sistem pengurusan prestasi syarikat.
“Kami biasanya mengambil masa setahun untuk menilai pekerja yang tidak memenuhi jangkaan, tetapi kali ini kami akan melakukan pemotongan berdasarkan prestasi dengan lebih meluas dalam kitaran ini,” katanya.
Langkah ini hanya akan melibatkan pekerja yang telah berkhidmat cukup lama, dengan jaminan bahawa mereka yang kehilangan kerja akan menerima pampasan pemecatan, serupa dengan pusingan pemotongan kerja sebelumnya.
Zuckerberg, 40, menegaskan bahawa tahun 2025 akan menjadi tempoh mencabar untuk Meta dan mahu memastikan pasukan terdiri daripada “orang terbaik.”
Pengumuman ini hadir hanya beberapa hari selepas Meta membuat keputusan kontroversi untuk menghentikan penggunaan factcheckers bagi memeriksa kandungan yang salah, sebaliknya memberi keutamaan kepada “kebebasan bersuara.”
Langkah ini dikritik meluas, dengan ramai pemerhati mendakwa ia akan membuka ruang kepada penyebaran maklumat palsu dan kandungan berbahaya di platform seperti Facebook dan Instagram.
Selain itu, Meta juga menamatkan program kepelbagaian, kesaksamaan, dan inklusi (DEI) yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada inisiatif korporat syarikat.
Meta sedang mengalihkan perhatian kepada projek kecerdasan buatan (AI), yang digambarkan oleh Zuckerberg sebagai salah satu teknologi paling penting di dunia.
Syarikat ini telah melabur besar dalam AI untuk kekal relevan dalam persaingan teknologi global.
Keputusan untuk memotong tenaga kerja dan menghapuskan factcheckers telah mencetuskan perdebatan, dengan ramai bertanya sama ada langkah ini akan membawa kebaikan jangka panjang atau memberi kesan buruk kepada kredibiliti platform Meta.