Pemain sayap Selangor, Faisal Halim bakal menjalani pembedahan buat kali ketiga dan proses tersebut dijadualkan berlangsung pada hari ini.
Perkara ini dimaklumkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar dimana beliau turut meminta doa dari rakyat Malaysia bagi memastikan proses pembedahan Faisal berjalan lancar.
Baca Juga:
- ‘Semoga Pelaku Menerima Hidayah’ – Ayah Faisal
- PSSI Turut Prihatin Dengan Insiden Menimpa Faisal Halim
- Faisal Halim Bakal Jalani Rawatan ‘Skin Allograft’
“Jadi kita bagi ruang kepada pihak doktor menjalankan tugas untuk pembedahan ketiga ini. Kita harap ia akan semakin baik,” katanya.
Pada masa yang sama, Datuk Seri Shahril turut memaklumkan prosedur lawatan akan diperketatkan bagi memastikan proses pemulihan Mickey berjalan dengan lancar.
Sebelum ini, Ketua Perubatan Sukan Selangor, Dr Muhammad Hazwan Khair menyatakan Faisal Halim bakal menjalani rawatan yang dipanggil Skin Allograft bagi merawat luka yang dialami selepas beliau disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada Ahad lalu.
Dr Hazwan menjelaskan rawatan ini menggunakan kaedah kulit diperoleh dari penderma akan digunakan sebagai penutup sementara untuk menutup luka melecur sekiranya pesakit tidak memiliki kulit yang cukup.
Menurut laporan Kosmo, rawatan tersebut akan memakan kos sekitar RM30,000 dan langkah ini dianggap sebagai langkah terbaik bagi membantu proses pemulihan Faisal.
“Berdasarkan kepada pakar bedah, prosedur lanjutan itu akan berlangsung dalam minggu ini. Dari segi otot, ia memerlukan rehabilitasi dan kita boleh jangka pada masa depan nanti,” kata Dr Hazwan.
Berikutan kejadian yang menjejaskan keselamatan semua pihak dalam kelab, Selangor memutuskan untuk tidak menghadiri perlawanan Piala Sumbangsih 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 Mei ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
“Setelah penelitian dijalankan dan perbicangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan rentetan dari insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam, pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk TIDAK HADIR ke Perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang telah lama kelab ini nantikan.
“Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor menegaskan keselamatan pasukan adalah perkara paling utama dan kami memandang serius akan segala bentuk keganasan dan ancaman serta tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan pasukan,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan.