Pemain sayap negara, Faisal Halim jauh meninggalkan bintang Asia lain dalam undian bagi anugerah jaringan terbaik temasya Piala Asia 2023 yang baru sahaja melabuhkan tirainya.
Jaringan Faisal ketika menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan E tersenarai sebagai calon bagi anugerah tersebut bersama tujuh lagi gol.
Baca Juga:
- Gol Faisal Halim Terpilih Bagi Anugerah Jaringan Terbaik Piala Asia 2023
- Arif Aiman Tersenarai Dalam ‘Future Stars’ Piala Asia 2023
- RASMI: Romel Morales Sertai Johor Darul Ta’zim
Menurut tinjauan Vocket FC, Faisal sedang mendahului dengan undian sebanyak 63 peratus, jauh meninggalkan pemain lain seperti seperti pemain Jordan, Mousa Al-Tamari (27 peratus), ketua pasukan Korea Selatan, Son Heung-min (6 peratus) dan bintang Iran, Sardar Azmoun (4 peratus).
Empat lagi pemain iaitu Keito Nakamura (Jepun), Hassan Al-Haydos (Qatar), Supachok Sarachat (Thailand) dan Abdulrahman Ghareeb (Arab Saudi) masih belum menerima undian setakat ini.
Sebanyak 132 gol dijaringkan dalam 51 perlawanan ketika Piala Asia berlangsung pada nisbah 2.59 setiap perlawanan. Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberikan peluang kepada peminat untuk mengundi jaringan mana yang menurut mereka terbaik.
Peminat boleh mengundi di laman ini dimana proses undian akan dibuka sehingga 25 Februari dan AFC akan memilih gol terbaik berdasarkan undian terbanyak.
Ketika aksi menentang Korea, dua lagi pemain iaitu Arif Aiman dan Romel Morales turut menjaringkan gol sekaligus menghadiahkan Malaysia satu mata dalam temasya edisi kali ini.
Bagi Korea pula mereka sekali lagi berputih mata untuk menjulang trofi Piala Asia apabila tewas di peringkat separuh akhir di tangan Jordan dengan keputusan 2-0 yang turut menyaksikan pengendali pasukan, Jurgen Klinsmann dipecat ekoran kegagalan tersebut.