Pemain sayap Selangor, Faisal Halim memberitahu bahawa ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memberikan kata-kata semangat kepadanya ketika dirawat di hospital selepas menjadi mangsa simbah asid pada 5 Mei lalu.
Faisal berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di pusat latihan kelab itu yang mana turut menjadi penampilan pertama Faisal selepas insiden tersebut.
Baca Juga:
- ‘Tak Tahu Ada Musuh, Saya Tak Pernah Buat Masalah Dengan Orang’ – Faisal Halim
- Peguam SFC: Polis Belum Beri Perkembangan Kes Faisal Halim
- Faisal Halim Mohon Doa, Mahu Segera Kembali Beraksi
Pan-gon merupakan salah seorang yang dibenarkan untuk melihat keadaan Faisal selepas disimbah asid dan pemain itu berkongsi kata-kata semangat yang diberikan oleh pengendali dari Korea itu.
“Pan-gon ada datang bertemu saya dan dia berkata agar saya tidak berhenti bermain bola. Dia berharap yang dia tidak akan kehilangan Faisal Halim.
“Dia nak saya kembali. Dia tak nak saya jatuh. Dia tak nak saya berhenti main bola,” kata Faisal Halim mengenai Kim Pan-gon.
Dalam masa yang sama, barisan peguam yang dilantik oleh Selangor bagi mewakili Faisal memaklumkan pihak polis masih belum memberi sebarang perkembangan terhadap anak guam mereka.
“Amat jelas dan kami percaya ia adalah sesuai untuk di siasat di bawah kesalahan jenayah serius Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata bahaya atau Seksyen 307 atas percubaan membunuh. Saya percaya Polis adalah lebih pakar dan tahu apa yang sesuai untuk kes ini,” kata Encik Haijan Omar.
Faisal turut memohon doa dari semua pihak agar beliau kembali pulih dan beraksi bersama Selangor dan juga skuad kebangsaan.
“Saya dilahirkan untuk bermain bola sepak. Apabila ada musibah seperti ini menimpa saya, memang sukar untuk saya dan sekeluarga. Saya harap saya akan segera kembali beraksi di atas padang.
“Keadaan sekarang ini masih belum jelas sama ada saya boleh kembali beraksi ataupun tidak. Saya harap semua mendoakan saya agar segera kembali beraksi,” katanya.