Pemain sayap Selangor FC (SFC), Faisal Halim kembali beraksi di atas padang pada aksi Liga Super 2024 menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium MBPJ, sabtu lepas.
Namun, kemunculannya dalam keadaan bertopeng telah menjadi bualan peminat bola sepak tempatan sejak insiden simbahan asid oleh individu tidak dikenali bulan Mei lalu.
Baca Juga:
Faisal memerlukan topeng muka khas bagi melindungi parut dan kecederaan beliau untuk kembali beraksi di padang.
Topeng muka itu bukanlah seperti topeng adiwira yang biasa dilihat, sebaliknya ia adalah rekaan khas oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya (UM) hasil kajian melalui BioApps Sdn Bhd berdasarkan nasihat daripada Jabatan Pemulihan Kecederaan Sukan.
Dipetik dalam Bernama, UM dalam kenyataan memaklumkan BioApps Sdn Bhd adalah syarikat spin-off UM yang ditubuhkan di bawah Centre for Applied Biomechanics (CAB), Fakulti Kejuruteraan dan kini menyediakan perkhidmatan prostetik dan ortotik tunggal untuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Antara penyelidik terlibat dalam penghasilan topeng muka berkenaan antaranya Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman yang juga pakar penyelidik biomekanik dan rekabentuk prostetik.
“Penghasilan topeng muka khas ini adalah satu strategi utama UM untuk memasyarakatkan impak komuniti daripada kepakaran dan hasil penyelidikan universiti,” kata Noor Azuan dalam kenyataan itu.
ðŸŽ#SFC #MKLK#MerahKuning #LambangKebanggaan#JusticeForFaisalHalim pic.twitter.com/2vGWh44PJp
— Selangor FC (@selangorfc) August 3, 2024
Dalam tempoh seminggu, BioApps Sdn Bhd berjaya menghasilkan topeng berkenaan setelah menerima rekomendasi daripada pakar perubatan pemulihan kecederaan sukan.
Menurut Pakar Prostetik dan Ortotik BioApps Sdn Bhd Muhammad Hazim Kamaruzaman berkata topeng tersebut diperbuat daripada bahan carbon fibre yang lebih ringan dan nipis supaya memberi keselesaan kepada Faisal untuk kembali beraksi di padang selain melindungi saraf dan luka pemain itu yang masih belum pulih.
“Topeng muka khas tersebut telah dihasilkan berdasarkan kondisi parut muka yang agak serius dan telah melalui beberapa peringkat pengukuran dan pengujian tahap keselesaan sebelum penghasilan peringkat akhir,” katanya.
Faisal dalam kenyataan sama mengakui topeng muka khas itu membantu melindungi parut muka beliau semasa menjalani latihan dan perlawanan.
“Saya rasa kembali normal dan selesa untuk beraksi di padang. Mungkin pada pandangan masyarakat, pemakaian topeng muka tersebut agak janggal tetapi saya memerlukannya sehingga luka dan parut muka saya kembali pulih,” katanya yang kini fokus kepada tahap persediaan diri.