Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah berusaha untuk memujuk Kim Pan-gon untuk terus kekal membimbing skuad kebangsaan namun langkah itu gagal.

Perkara ini disampaikan oleh timbalan presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dalam satu sidang media di Wisma FAM baru-baru ini.

Baca Juga:

Menurutnya, Pan-gon tetap dengan keputusannya untuk mengundurkan diri dan badan itu harus menghormati langkah yang diambil oleh jurulatih dari Korea itu.

“Pan-go. telah bertemu dengan kepimpinan tertinggi FAM, kami cuba meyakinkannya untuk kekal, tetapi dia berkeras untuk menamatkan kontraknya yang hanya akan tamat pada Disember 2025.

“Kami pastinya sedih dan kecewa kerana beliau telah berjasa dalam membawa Harimau Malaya ke Pusingan Akhir Piala Asia dan (membantu meningkatkan) ranking dunia semasa beliau menjadi ketua jurulatih. Ia adalah satu kerugian besar berdasarkan apa yang telah beliau lakukan untuk kami,” katanya.

Pan-gon menegaskan sebab utama beliau meletak jawatan sebagai ketua jurulatih adalah kerana alasan peribadi.

“Hari ini, saya telah memutuskan untuk berundur sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia kerana komitmen peribadi saya. Saya memohon maaf atas sebarang kekecewaan yang mungkin ditimbulkan kepada semua pihak.

“Sejak saya tiba pada Februari 2022, selama dua setengah tahun yang lalu, rakyat Malaysia benar-benar menghadiahkan saya satu perjalanan yang sangat luar biasa dan indah dalam hidup saya,” katanya menurut kenyataan yang dikeluarkan FAM.

Bekas penolong jurulatih kepada Kim Pan-gon iaitu Pau Marti Vicente diberi tanggungjawab untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Sementara itu, jurulatih yang pernah mengemudi skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) iaitu E.Elavarasan pula diangkat menjadi penolong ketua jurulatih.

Pada masa yang sama, Yusoff turut memgesahkan staf-staf kejurulatihan yang lain seperti Park Bobae (penolong jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Jihyeon Park (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi) kekal bersama skuad kebangsaan untuk membantu Pau Marti.

Tugasan pertama Pau Marti bersama skuad kebangsaan ialah menghadapi saingan Pesta Bola Merdeka 2024 yang akan disertai Tajikistan, Lubnan dan Filipina pada September nanti.