Indonesia meneruskan rentak cemerlang dalam Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 apabila mara ke pentas final selepas berjaya menundukkan Thailand 5-1 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Terminal 21 Nakhon Ratchasima, sebentar tadi.
Kemenangan berharga dicipta Indonesia itu sekali gus menyaksikan Thailand buat pertama kalinya gagal untuk menjuarai saingan yang dimenangi oleh mereka setiap kali menyertai kejohanan ini (16 kejuaraan).

Pertembungan melibatkan dua pasukan terbaik di benua Asia Tenggara itu nyata berlangsung dengan cukup menarik sepanjang perlawanan.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha untuk memburu jaringan. Namun, tuah nyata memihak Indonesia yang mengambil kesempatan di atas kesilapan demi kesilapan dilakukan skuad muda Thailand ini.
Ia jelas dibuktikan apabila Evan Soumilena membuka tirai jaringan pada minit kelapan hasil serangan balas pantas berpunca daripada kesilapan Chaowala Sriarwut yang gagal mengeluarkan bola dengan baik.
Kesilapan pemain Thailand pada minit ke-22 dan ke-27 memberikan ruang buat Wendy Brian Ick untuk melakukan percubaan padu yang menjadikan kedudukan 3-0.
Taktikal ‘Power Play’ yang dimainkan Thailand selepas itu memakan diri selepas kegagalan mengawal bola dengan baik membolehkan Rio Pangetsu mengukuhkan lagi kedudukan pada minit ke-33.
Thailand cuba merapatkan defisit jaringan menerusi Teerapat Meuansri tetapi Firman Ardiansyah mengesahkan kemaraan Indonesia dengan jaringan kelima.
Menanti Indonesia di perlawanan akhir pada Ahad ini ialah Vietnam yang menundukkan Australia 5-4 dalam satu lagi aksi separuh akhir.