Perak melangkah ke separuh akhir acara futsal Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas berjaya membelasah Terengganu 8-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Samarahan sebentar tadi.

Keputusan tersebut boleh dianggap sebagai satu kejutan dimana Terengganu turun selaku juara kumpulan A manakala Perak pula hanya berada di kedudukan keempat kumpulan B.

Baca Juga:

Jaringan pembukaan Perak terhasil pada minit ke-17 menerusi Mohd Amirul Aiman Hamdan yang menyaksikan kelebihan satu gol itu kekal hingga tamat babak pertama.

Perak yang dibimbing bekas pemain skuad kebangsaan, Ali Mahat terus garang dengan menambah empat lagi gol hasil sumbangan Danish Syaufi (dua gol), Amirul Aiman dan Matias Danisan.

Tersentak dengan jaringan demi jaringan itu, Terengganu merapatkan jurang hasil percubaan Mohammad Haikal Abdullah yang berjaya membolosi gawang Perak pada minit ke-34.

Perak bagaimanapun pantas memberikan respon dengan dua gol menerusi Matias dan Mohammad Nabil sebelum Muhammad Ikhwan mendapatkan jaringan kedua buat Terengganu.

Ketika aksi hanya berbaki dua minit untuk ditamatkan, Danish Syaufi melengkapkan hatrik yang sekali gus membawa Perak ke separuh akhir dengan kemenangan 8-2.

Menanti Perak di separuh akhir pada Rabu ini ialah pemenang antara Sarawak dan Wilayah Persekutuan yang sedang berentap pada ketika ini.

Dua lagi aksi suku akhir yang bakal berlangsung petang ini menyaksikan pertemuan Pulau Pinang dan Pahang manakala Melaka bertemu Selangor.