Sarawak dan Selangor bakal berentap di perlawanan akhir acara futsal Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas berjaya menundukkan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir sebentar tadi.

Pada aksi separuh akhir pertama, Sarawak tampil dengan cukup bertenaga pada babak kedua untuk merakamkan kemenangan 7-3 ke atas Perak.

Baca Juga:

Asyraff Zakaris menceriakan ribuan penyokong Sarawak yang membanjiri Stadium Tertutup Samarahan dengan dua gol pantas pada minit kedua.

Hanya berselang seminit kemudian, Perak mengurangkan defisit jaringan menerusi Abdul Hadi Muhamad Azhan sebelum Mohammad Nazir Mahdini menjadikan kedudukan 3-1.

Kelebihan dua gol itu bagaimanapun berjaya dipadamkan oleh Perak yang mendapatkan jaringan sumbangan Mohamad Amirul Aiman Mohamad Hamdan dan Matias Danisan.

Bagaikan mendapat tonik berguna ketika rehat, anak buah Faizal Zamri menambah gol keempat menerusi Asyraff Zakaris yang sekali gus melengkapkan hatrik pada minit ke-21.

Tujuh minit kemudian, giliran Mohamad Zainulariffin Mohamad Zain pula meletakkan nama selaku penjaring dan jaringan itu nyata merentap semangat juang barisan pemain Perak.

Kesilapan ketika taktikal ‘Power Play’ jelas memakan diri untuk memberikan ruang buat Sarawak menambah dua lagi gol menerusi Mohamad Shahmi Suhardi dan Mohamad Nazwan Airil Mohamad Haykal.

Sementara itu, Selangor tidak berdepan masalah untuk mara ke final selepas menundukkan Pulau Pinang 3-0 pada perlawanan yang berlangsung pada 11.30 pagi tadi.

Jaringan skuad kendalian Qusmaini Noor Rusli itu disumbangkan oleh Syahir Iqbal Khan Akbar Khan (dua gol) dan Zulkifli Abu Hassan Zali.

Perlawanan akhir yang bakal menobatkan juara baharu itu bakal berlangsung pada Jumaat ini.

Sarawak dan Selangor pernah bertemu sebelum ini di peringkat kumpulan yang menyaksikan kedudukan terikat 2-2.