Selangor memulakan kempen kumpulan B acara futsal Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan nota kemenangan setelah berjaya menundukkan Johor 3-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Samarahan sebentar tadi.
Pertembungan dua pasukan yang dilabel sebagai calon juara itu berlangsung dengan penuh mendebarkan sejak awal permainan.
Baca Juga:
- Faisal Halim Suntik Semangat Skuad Futsal SUKMA Selangor
- SUKMA 2024: Skuad Futsal Selangor Sasar Raih Pingat Emas
- Futsal SUKMA 2024: Selangor, Johor & Sarawak Diundi Satu Kumpulan
Selangor yang dibimbing Qusmaini Noor Rusli membuka tirai jaringan pada minit keenam menerusi sepakan penalti ketua pasukan, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan selepas bola terkena tangan pemain Johor dalam kawasan D.
Kegembiraan itu bagaimanapun hanya bertahan dua minit apabila Muhammad Rashidie Mahadi melepaskan rembatan dari sebelah kiri pintu gol Selangor untuk kedudukan kembali terikat 1-1.
Aksi selepas itu cukup mendebarkan dengan kedua-dua pasukan saling balas-berbalas serangan sehinggalah Selangor kembali mendapatkan jaringan kedua menerusi Muhammad Zufayri Shamsul Asmardy pada minit ke-20.
Jaringan tersebut berpunca daripada sepakan penalti kedua (Second Spot) berikutan enam kekasaran terkumpul dilakukan pemain Johor pada babak pertama.
Memasuki minit ke-23, Syahir Iqbal yang merupakan pemain skuad kebangsaan menjadikan kedudukan 3-1 setelah beliau merampas bola dari kaki lawan lalu menyudahkan peluang terhidang.
Rashidie kemudiannya merapatkan defisit jaringan pada minit ke-27 untuk menambahkan lagi debaran permainan yang dipenuhi para peminat futsal tempatan.
Kedudukan 3-2 tersebut kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan tiga mata penuh yang cukup berharga buat skuad futsal SUKMA Selangor itu.