Undian yang dijalankan petang semalam bagi acara futsal lelaki saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 menyaksikan saingan cukup menarik dalam kumpulan B.
Ia jelas dapat disaksikan apabila kumpulan tersebut menampilkan tuan rumah, Sarawak bersama-sama Selangor, Johor, Pahang dan Perak.
Baca Juga:
- SUKMA 2024: Skuad Futsal Selangor Sasar Raih Pingat Emas
- Skuad SUKMA Johor Muncul Juara Piala Futsal Jemputan 2024
- MPFL 2024: Tamat Pusingan Pertama, JDT Unggul Terajui Saingan
Berdasarkan kepada pemerhatian wakil The Vocket, Sarawak sedang giat meningkatkan kemampuan pasukan setelah mengadakan latihan pusat di Lembah Klang serta muncul naib juara Piala Jemputan di Pasir Gudang pada Jun lalu.
Lebih menarik untuk diperkatakan, kem Sarawak juga turut terbang ke Bangkok dalam menghadapi beberapa siri perlawanan persahabatan di sana.
Selain itu, terdapat pemain dalam skuad kendalian Faizal Zamri itu turut bersama PFA Odin dalam menghadapi kempen Divisyen 2 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) yang sedang berlangsung.
Sementara itu, Johor pula turun selaku juara Piala Jemputan selepas menundukkan skuad SUKMA Sarawak 5-1 pada perlawanan akhir.
Johor yang merupakan juara sulung acara futsal ketika SUKMA 2011 diperkuatkan dengan beberapa pemain dalam saingan MPFL dan sebahagian besar bersama Liga Futsal Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Manakala, cabaran bakal dijelmakan Selangor juga tidak kurang menariknya dengan kehadiran pemain skuad futsal kebangsaan iaitu Syahir Iqbal Khan Akbar Khan.
Selangor yang masih belum pernah meraih sebarang pingat dalam acara futsal telah mencatatkan keputusan memberangsangkan pada dua aksi persahabatan terakhir dengan keputusan seri bertemu skuad MPFL Kedah 5-5 dan menewaskan Nilai City SC 12-2, minggu lalu.
Sementara itu saingan yang bakal diberikan oleh Perak dan Pahang juga tidak wajar dipandang enteng pasukan lain dalam kumpulan B ini.
Kumpulan A pula memperlihatkan finalis edisi 2018, Kuala Lumpur (pingat emas) dan Terengganu (pingat perak) bakal menghadapi cabaran daripada Melaka, Pulau Pinang dan Sabah.
Meskipun acara futsal SUKMA 2024 hanya melibatkan dua kumpulan, pihak penganjur memilih untuk aksi suku akhir diadakan dan bermakna empat pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan kalah mati.