Seperti bola sepak, acara futsal Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 juga semakin menghampiri penghujung apabila bakal memasuki peringkat separuh akhir pada Rabu ini.
Lebih menarik untuk diperkatakan, saingan yang berlangsung di Kota Samarahan itu bakal menyaksikan juara baharu.
Baca Juga:
- Futsal SUKMA 2024: Perak Belasah Terengganu Untuk Ke Separuh Akhir
- Futsal SUKMA 2024: Sarawak Pastikan Johor Pulang Awal
- Futsal SUKMA 2024: Nasib Berbeza Dialami Selangor, Johor
Hal ini kerana pemenang pingat emas (Wilayah Persekutuan), pingat perak (Terengganu) dan pingat gangsa (Pahang) pada edisi 2018 di Perak sudah pun tersingkir, petang tadi.
Terengganu yang dilabel sebagai antara calon juara menerima kejutan terbesar apabila dibelasah semi finalis edisi lalu Perak dengan keputusan 2-8.
Segalanya serba tidak menjadi buat Terengganu yang ketinggalan 0-5 pada satu ketika dan ia jelas menyemarakkan lagi semangat juang skuad kendalian Ali Mahat itu memastikan kemaraan ke separuh akhir.
Menanti Perak di separuh akhir pada Rabu ini ialah tuan rumah, Sarawak yang tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan Wilayah Persekutuan 3-1.
Aksi paling sengit pastinya pada perlawanan Pulau Pinang bertemu Pahang dimana berlanjutan hingga ke penentuan sepakan penalti.
Pulau Pinang berpeluang untuk mengesahkan kemenangan dengan lebih awal tetapi kelebihan 3-1 dimiliki berjaya dipadamkan Pahang untuk kedudukan terikat 3-3.
Keputusan itu terikat hingga ke masa tambahan lima minit bagi setiap babak untuk pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang akhirnya tuah memihak Pulau Pinang dengan kemenangan 4-3.
Manakala pada perlawanan suku akhir keempat, Selangor bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk meraih kemenangan 6-3 ke atas Melaka.
Jadual perlawanan separuh akhir Futsal SUKMA 2024
1) Sarawak lawan Perak – 8.30 pagi (Rabu)
2) Selangor lawan Pulau Pinang – 11.30 pagi (Rabu)
Kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Tertutup Samarahan dan masuk adalah percuma.