Seorang pemengaruh media sosial Lina Mukherjee yang berasal dari Indonesia telah dijatuhkan hukuman penjara dua tahun Mahkamah Daerah Kelas I Palembang pada selasa lalu selepas beliau didakwa makan babi sambil baca bismillah, lapor CNN Indonesia.

Ketua Hakim Roni Sianatra berkata, defendan terbukti dengan sengaja dan tanpa kebenaran menyebarkan maklumat bertujuan menimbulkan perasaan benci dalam kalangan individu dan kumpulan masyarakat tertentu.

Baca Juga:

“Tindakan terdakwa juga melanggar Pasal 45 Ayat (2) Undang-Undang Nomor 19 Tahun 2016 tentang Perubahan Undang-Undang Nomor 11 Tahun 2008 tentang Informasi dan Transaksi Elektronik,” kata Roni Sianatra.

Selain dua tahun penjara, Lina Mukherjee turut dijatuhkan hukuman denda IDR 250 juta (RM80,000), “Jika defendan tidak membayar, dia akan diganti dengan penjara tiga bulan,” sambungnya.

Roni Sianatra menambah bahawa dia percaya defendan secara sedar membuat video itu untuk mencari keuntungan untuk dirinya sendiri. “Bukti dalam bentuk DVD, kad SIM, akaun TikTok, Instagram, iPhone 14 Promax akan dirampas oleh pihak berkuasa,” jelasnya.

Selepas mendengar keputusan itu, Lina Mukherjee melalui peguamnya mengakui bahawa dia telah menjangkakan hukuman yang akan diterima olehnya, setelah melihat perbicaraan sebelumnya dalam kes yang sama.

“Saya rasa keputusannya sama dengan Encik Ahok, anggaran saya tidak pernah salah setakat ini, lebih kurang begitulah,” kata Lina Mukherjee.

Menurut Lina Mukherjee, dia pasrah dengan keputusan itu selepas memohon maaf kepada seluruh masyarakat.

“Sejujurnya, saya banyak rasa sedih, ibu bapa saya tidak dapat datang kerana mereka jauh, mereka juga sudah tua,” jelas Lina Mukherjee.

Pada April lalu, beliau mendapat kecaman oleh orang ramai setelah memuat naik satu video beliau makan babi sambil baca ‘bismillah’.

video berdurasi hampir dua minit telah dimuat naik oleh akaun Tiktok @lilmukerjililu beberapa minggu lalu di akaun media sosialnya.

Muat naik itu menjadi tumpuan 2.4 juta netizen di alam siber. Sehingga berita ini didedahkan, posting tersebut telah menerima puluhan ribu komen.

“Bismillah, eh, lupa. Kawan-kawan, hari ni macam dibuang dari keluarga sebab saya sangat ingin tahu apa yang dipanggil kriuk (kulit) babi,” kata Lina Mukherjee.

“Jadi hari ini saya langgar Rukun Iman, hahaha, saya pasti kad keluarga saya akan ditarik balik,” sambungnya lagi.

Kenyataan beliau ini telah menarik pelbagai kecaman dari pelbagai pihak. Baru-baru ini, beliau turut dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana didakwa mempersendakan agama.

Menurut laporan media Indonesia, Polis Wilayah Sumatera Selatan (Sumsel) telah menerima laporan daripada dua orang peguam berhubung dakwaan kandungan mempersendakan agama oleh Lina Mukherjee yang membuat kandungan makan kulit babi sambil mengucapkan Bismillah.

Sumber