Jodoh Gareth Southgate dan skuad kebangsaan England sampai ke penghujung selepas beliau memilih untuk meletakkan jawatan daripada jawatan yang disandang sejak lapan tahun lalu.
Perkembangan terbaharu mengenai masa depan pengendali berusia 53 tahun itu disahkan laman sosial rasmi skuad kebangsaan England, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Euro 2024: Southgate Yakin England Akan Mara Ke Final
- Roy Keane Kecam Tindakan Southgate Letak Alexander-Arnold Di Posisi Tengah
- Tak Pernah Menang Euro, England Dianggap Tidak Sedar Diri
Beliau meninggalkan jawatan tersebut kerana mahu mencuba angin baharu dimana beliau mula menjawat jawatan selaku ketua jurulatih skuad The Three Lions pada September 2016.
Walaupun sering mendapat kritikan dalam memilih barisan pemainnya, Southgate boleh dilabel sebagai antara pengurus terbaik pernah dimiliki England.
Beliau berjaya mengemudi England ke pentas final Euro 2020 dan 2024 serta menamatkan kempen Piala Dunia 2018 di kedudukan ketiga.
“Sebagai orang Inggeris yang berbangga dengan negaranya, ia adalah satu penghormatan dalam hidup saya dapat bergelar pemain dan pengurus England.’’
“Ia memberikan makna segala-galanya buat saya dan saya telah memberikan semuanya untuk menjayakannya.’’
“Tetapi, sudah tiba masanya untuk menikmati perubahan dan fasa baharu dalam karier. Perlawanan akhir di Berlin bertemu Sepanyol menjadi aksi terakhir saya sebagai pengurus England,’’ ujar Gareth Southgate menurut sumber laporan The Guardian.
Dengan pemergian Southgate, beberapa nama seperti Eddie Howe, Graham Potter dan Thomas Tuchel dikatakan menjadi calon untuk mengisi kekosongan kerusi panas tersebut.
Berakhirnya kempen Euro di Jerman, skuad England akan berhadapan dengan Republik Ireland dan Finland dalam Euro Nations League pada September nanti.