Umum mengetahui perlumbaan motosikal MotoGP adalah antara kejohanan sukan paling berprestij di dunia. Walaupun tidak sepopular sukan lain seperti bola sepak, namun ia sering saja menjadi tumpuan- terutamanya jika ada pelumba atau pasukan dari negara mereka menyertai pertandingan itu.
Sebagai contoh, peminat perlumbaan motosikal itu di Malaysia yang kini semakin ramai selepas kemunculan beberapa pelumba tempatan seperti Hafizh Syahrin dan juga Khairul Idham Pawi serta penyertaan pasukan MotoGP pertama dari Malaysia dan Asia Tenggara, Petronas Sepang Racing Team sejak 2018.
Dan kini, selepas pasukan dan pelumba tempatan dalam saingan itu, perlumbaan hujung minggu ini sekali lagi menyajikan detik menarik buat peminat tempatan apabila helmet yang dipakai pelumba dari Itali, Franco Morbidelli yang juga merupakan anak didik kepada Valentino Rossi bakal mempunyai mesej yang ditulis dalam Bahasa Melayu.
Tampil dengan objektif utama menyampaikan mesej berkaitan isu perkauman yang hangat diperkatakan di seluruh dunia ketika ini, rekaan topi keledar Morbidelli kali ini dipenuhi dengan tulisan Equality dalam pelbagai bahasa di bahagian belakang.
Topi keledar yang dipakai Morbidelli sepanjang hujung minggu perlumbaan kali ini di Itali direka khas untuk perlumbaan home grand prix dan berbeza dengan yang digunakannya dalam perlumbaan-perlumbaan lain.
Paling mencuri tumpuan adalah semestinya perkataan KESAKSAMAAN yang turut tersenarai antara bahasa-bahasa utama dunia yang ditampalkan di topi keledar pelumba pasukan dari Malaysia itu.
Jika menggunakan Google Translate, perkataan kesaksamaan adalah terjemahan Bahasa Melayu untuk perkataan asal equality. Manakala menurut Dewan Bahasa Dan Pustaka pula, perkataan kesaksamaan merujuk kepada hal atau keadaan saksama; ketelitian.
Walaupun hanya satu perkataan, namun ia pastinya sudah cukup untuk membuatkan kita rakyat Malaysia menyedari penghormatan yang diberikan pelumba yang kini beraksi bersama pasukan Petronas Sepang Racing Team dari Malaysia ini.
Terjemahan perkataan tersebut di topi keledar tersebut juga walaupun nampak kecil tapi ia sebenarnya menunjukkan isyarat jelas bahasa kebangsaan kita juga boleh berdiri sebaris dengan bahasa-bahasa utama dunia dan dengan kemunculannya di salah satu perlumbaan tersohor dunia pasti akan memartabatkan lagi ketinggian bahasa Melayu.
Baca juga perkongsian Hafizh Syahrin sebelum ini mengenai kemalangan yang dilaluinya ketika saingan Moto2 baru-baru ini yang mengakibatkan motosikalnya hancur di pautan di bawah.
‘Tak Rasa Apa Dari Pinggang Ke Kaki’- Hafizh Syahrin Kongsi Detik Kemalangan Ngeri Di Austria
Kisah Perlumbaan Paling Bahaya, Catat 258 Kematian Dalam Masa 113 Tahun