Bekas penyerang skuad kebangsaan yang juga pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula memberikan bayangan beliau bakal bersara dari dunia bola sepak profesional.
Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, De Paula memuat naik gambar yang menunjukkan pasukan yang pernah diwakilinya dalam saingan Liga Malaysia sambil menuliskan caption terima kasih.
Baca Juga:
- Faisal Halim Teruja Untuk Jalani Proses Fisioterapi
- Kem Manchester United Berikan Sokongan Kepada Faisal Halim
- Kim Pan-gon Beri Sokongan Terhadap Faisal Halim
“Terima kasih bola sepak atas kasih sayang yang anda berikan kepada saya. Kepada rakan-rakan yang saya temui sepanjang perjalanan, terima kasih banyak atas kesetiaan dan kasih sayang anda. Dan kepada mereka yang pernah mengkhianati saya, terima kasih juga, kerana anda mengajar saya untuk menjadi lebih kuat dan lebih semangat. Saya tidak akan melupakan emosi dan pengajaran yang diberikan oleh bola sepak kepada saya,” tulis De Paula.
Pemain berusia 37 tahun kelahiran Brazil itu memulakan karier di Malaysia bersama Selangor pada musim 2015 dimana beliau membantu skuad Gergasi Merah memenangi Piala Malaysia buat kali ke-33.
Guilherme De Paula kemudiannya berhijrah ke kelab Cyprus, Ethnikos Achna pada 2016 namun kembali ke Malaysia pada jendela perpindahan kedua dimana beliau menyertai PDRM.
Pemain yang mendapat panggilan Zulhelmi De Paula dari peminat bola sepak tanah air itu kemudiannya beraksi bersama Kuala Lumpur City selama dua musim dan kemudiannya berhijrah menyertai Perak pada 2020.
Pada musim 2021, De Paula menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) dimana beliau beraksi selama dua musim bersama kelab dari Selatan tanah air itu. Musim lalu beliau dipinjamkan ke Melaka FC yang bersaing di Liga M3.
Setelah memperoleh kerakyatan Malaysia pada 2021, De Paula turun buat kali pertama di peringkat antarabangsa ketika kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sepanjang kariernya di Malaysia, De Paula pernah memenangi beberapa gelaran seperti Piala Malaysia 2015, Liga Premier 2017, Liga Super 2021 selain gelaran individu seperti penjaring terbanyak Piala Malaysia 2016, penjaring terbanyak Liga Premier 2017 dan Penyerang Import Terbaik pada tahun sama.