Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon sebagai orang gila talak ketika meminta dilepaskan.

Hamidin mendedahkan kisah sebenar mengenai situasi Kim Pan-gon ketika pengendali dari Korea Selatan itu meninggalkan pasukan negara dan kembali ke negaranya.

Baca Juga:

“Mulanya saya minta beliau bertahan sehingga kontrak habis. Keesokan harinya beliau jumpa saya lagi, minta lagi macam ‘orang gila talak’ dan saya kata padanya tunggu sehingga hujung tahun ini pula.

“Tapi hari ketiga, hari sebelum saya pergi ke Mallorca (untuk meninjau persiapan atlet negara untuk Sukan Olimpik), beliau merayu untuk saya lepaskan juga.

“Akhirnya saya bersetuju. Saya tahu keputusan saya itu akan membuatkan peminat marah kepada FAM, tapu ini kebenaran yang peminat perlu tahu.

“Saya kecewa kerana FAM jadi mangsa sedangkan apa yang dilakukan Pan-gon memang tak profesional. Beliau tak cerita hal sebenar rupanya nak pergi ke Ulsan Hyundai tapi beri alasan mengenai keluarga,” katanya.

Peminat menyalahkan FAM selepas Pan-gon meninggalkan pasukan negara malah kumpulan penyokong iaitu Ultras Malaya mengambil keputusan untuk memboikot kejohanan Pestabola Merdeka 2024.

Salah satu faktor mengapa mereka memboikot kerana Pan-gon yang secara tiba-tiba meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad senior negara ketika pasukan menampilkan prestasi yang baik di peringkat antarabangsa.

Seperti diketahui tidak kurang dua minggu selepas mengumumkan peletakan jawatan tersebut, Kim Pan-gon telah diperkenalkan sebagai pengendali baharu kelab saingan K League 1 itu.

Kekosongan ditinggalkan oleh Kim Pan-gon itu kini diisi oleh pembantunya iaitu Pau Marti Vicente dimana Pestabola Merdeka 2024 menjadi tugasan pertamanya buat skuad Harimau Malaya.