Skuad kebangsaan Filipina mendapat tamparan hebat menjelang sepak mula aksi Pestabola Merdeka 2024 selepas ketua jurulatih, Tom Saintfiet membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan.

Keputusan drastik itu diambil hanya sehari sebelum skuad Filipina akan terbang ke Kuala Lumpur untuk menghadapi saingan edisi ke-43 tersebut.

Baca Juga:

Difahamkan, Saintfiet meninggalkan pasukan yang dibimbingnya sejak enam bulan lalu kerana menerima tawaran daripada skuad kebangsaan Mali.

Satu peluang yang mungkin disifatkan oleh pengendali kelahiran Belgium itu sebagai lebih besar untuk terus berkembang sebagai seorang jurulatih.

Kekosongan yang ditinggalkan Tom Saintfiet ditinggalkan itu bakal diisi sementara oleh pembantu ketua jurulatih, Norman Fegidero.

“Dari pertemuan pertama saya dengan Tom, ini adalah sesuatu yang kami bincangkan bahawa jika peluang yang lebih besar datang kepadanya, saya tidak akan menghalangnya,” ujar Pengarah Persatuan Bola Sepak Filipina, Freddy Gonzalez menurut sumber Dugout Phillipines.

“Tom datang melakukan tugasan bersama Filipina dengan niat untuk membantu projek kami, tetapi hatinya sentiasa berada di Afrika.”

“Kami mengucapkan terima kasih atas khidmatnya dan semoga berjaya dalam peranan baharunya,” tambah Freddy lagi.

Benua Afrika nyata bukanlah asing buat Tom Saintfiet kerana sebelum ini beliau pernah bertindak selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan Gambia, Trinidad and Tobago, Togo, Zimbabwe, Namibia, Ethiopia dan Malawi.

Dalam Pestabola Merdeka 2024, Filipina akan berhadapan dengan Malaysia pada 4 September dimana apa sahaja yang berlaku pada perlawanan tersebut, Tajikistan dan Lebanon menanti di penentuan ke-3/4 atau perlawanan akhir.

Daripada empat pasukan tersebut, Tajikistan yang merupakan juara bertahan berada di ranking ke-102 dunia manakala Lebanon (117), Malaysia (135) dan Filipina (147).