Pengurus Manchester City, Pep Guardiola ada cara beliau yang tersendiri untuk meningkatkan moral serta menghargai kerja keras dijelmakan barisan kakitangan skuad utama kelab tersebut.

Menurut sumber laporan Goal, pengendali kelahiran Santpedor, Sepanyol itu telah memberikan bonus bernilai £10,000 (kira-kira RM57,139.45) kepada kakitangan skuad utama The Cityzens.

Baca Juga:

Bukan barisan kejurulatihan mereka sahaja yang menerima token penghargaan itu tetapi sebaliknya ia turut melibatkan penyambut tetamu dan tukang masak di pusat latihan, barisan fisioterapi, barista serta kakitangan keselamatan.

Jumlah keseluruhan melibatkan hampir 60 hingga 70 kakitangan yang nyata terkejut dengan pemberian bonus tersebut.

Sepanjang lapan tahun Guardiola berada di Manchester, beliau telah menjalinkan rasa kebersamaan antara pemain dan seluruh kakitangan di Pusat Latihan Manchester City.

Pengurus berusia 53 tahun itu sebelum ini pernah menyatakan bahawa persekitaran positif di seluruh kelab telah menjadi faktor utama kejayaan berterusan mereka.

Pep Guardiola dan Manchester City mengintai peluang untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali kelima berturut-turut.

Namun, tugasan berat bakal menanti mereka untuk meneruskan kecemerlangan tersebut dengan beberapa pasukan seperti Arsenal dan Liverpool juga dilihat mampu mengagalkan usaha itu.

Manchester City bermula dengan cukup baik dalam kempen EPL 2024/25 selepas menang 2-0 ke atas Chelsea dan membelasah Ipswich Town 4-1 dimana penyerang berbisa, Erling Haaland meledakkan hatrik pada perlawanan di tempat sendiri itu.