Baru-baru ini, tular kisah seorang remaja lelaki didakwa telah diabaikan oleh keluarganya sendiri di dalam satu kejadian di Pasir Gudang Johor.
Menerusi foto yang tular, ia memaparkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun terpaksa tidur di koridor flat di kediamannya.
Difahamkan remaja itu sudah beberapa hari tidak dibenarkan masuk ke rumahnya sehingga terpaksa mandi di tandas awam dan lebih teruk lagi perlu membuang air besar di kawasan tangga di premis flat berkenaan.
Jiran turut mendedahkan remaja itu merupakan anak yang baik walaupun dilayan sebegitu rupa, dia tetap menghadiri persekolahan pada setiap hari.
“Budak ni tak dibenarkan masuk ke dalam rumah dan hampir 3 hingga 4 hari tak balik. Ini bukan kali pertama dia dihalau tapi dah selalu sangat. Sampaikan dia buang air besar pun di tangga sebab tak boleh masuk rumah.
“Makan pun jiran-jiran yang bagi atas belas ehsan. Tapi ibu bapa dia buat bodoh je,” kongsi seorang individu yang dipercayai jiran kepada mangaa di grup FB Komuniti Taman Air Biru.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, ibu bapa terbabit telah pun ditahan jam 10.30 malam kerana didapati mengabaikan remaja itu sejak 7 Julai lalu.
“Polis yang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu bertindak menyelamatkan remaja itu semalam, selepas mengesan video tular berhubung perkara itu.
“Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau, namun ujian saringan awal air kencing kedua-dua mereka negatif dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, suami isteri warga tempatan itu ditahan reman selama lima hari bermula hari ini.