Kisah Yums SRG benar benar menarik perhatian netizen. Di mana roamer yang membantu SRG menjadi juara dunia MLBB-MSC, Riyadh 2024 itu ternyata seorang anak yang taat kepada ibu bapa dan seorang yang mementingkan pelajaran.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Menurut perkongsian oleh Akhi Fairuz Al-Jengkawi, penulis tersebut bertemu sendiri dengan emak Yums atau nama sebenarnya Muhammad Qayyum Ariffin Bin Mohd Suhairi adalah seorang anak yang dibesarkan oleh ibu tunggal selepas pemergian ayahnya.

Ibu kepada Yums berkata: “Dia tak pernah ponteng sekolah. 6 orang anak akak, setiap hari akak hantar dan ambil di sekolah. 3 orang anak akak yang besar ni, Abang Yums, Kakak Yums dan Yums tak pernah ponteng sekolah.

“Selama anak-anak sekolah, tak pernah cikgu telefon bagitahu anak akak kena tangkap ponteng.

“Kalau tak pergi sekolah, ada je kat rumah. Ini memang akak cakap terus kat anak-anak. Tak nak pergi sekolah, bagitahu. Jangan ibu hantar sekolah, tiba-tiba cikgu telefon cakap panjat pagar pergi CC, pergi mamak. Jangan!”

Seterusnya Yums seorang yang tak pernah melawan cakap orang tuanya walaupun dia kena marah: “Walaupun kena marah macam mana pun, kena sorok telefon pun, dia diam.”

Dalam perkongsian tersebut, ibunya mendedahkan cuma sekali sahaja Yums pernah pergi keluar rumah selepas maghrib dan balik pada Isyak. Ianya kerana dia tidak berpuas hati ibunya merampas telefonnya dan telefon milik arwah abahnya.

Selepas ayahnya meninggal dunia, Yums menggunakan telefon peninggalan arwah abahnya itu untuk bermain permainan video atau ‘game’.

Ibu Yums meneruskan: “SPM kena ambil. Kena ada sijil SPM. Walau keputusan tak tip top, tapi dengan sijil SPM peluang sambung belajar tinggi selepas tak aktif dalam gaming. Kerajaan banyak buka peluang sambung belajar untuk pelajar SPM yang kurang baik keputusannya. Perancangan masa hadapan kena ada.”

Selain itu ibunya juga menyatakan bahawa Yums seorang yang menjaga solatnya. Ibunya selalu mengingatkan Yums agar rajin rajinkan diri berjemaah di masjid walaupun: “Tak berjemaah 5 kali sehari tak apa. Janji pergi bila boleh pergi. Sebab bercuti pun dia masih kena training.

“Akak rasa bab solat ini paling penting. Sebab ramai nak jadi gamer tapi yang utama – hormat ibubapa, solat jaga/, belajar (hormat guru) tak jaga.”

Ibunya turut berkongsi pengalamannya membesarkan anak yang memilih karier sebagai pemain e-sukan profesional. Di mana ibunya sentiasa berhubung dengan Yums yang seringkali berjauhan apabila ada pertandingan atau latihan. Misalnya baru baru ini, Yums bersama SRG ke Riyadh.

“Setiap kali tournament MPL, akak akan pesan jangan taunting. Cakap biasa-biasa je. Akak lebih percaya kita jaga kata-kata kita lebih baik dari berkata semata untuk hype dan akan buka ruang orang mengata kita balik. Itu sesuatu yang akak tak suka. Dan akak cuba untuk Yums elakkan dari buat.”

Baru baru ini, Yums dan rakan rakannya dalam SRG telah membanggakan seluruh rakyat Malaysia apabila mereka menjadi juara dunia pertama dari Malaysia dalam acara e-sukan untuk MLBB.

SRG membawa pulang trofi istimewa dan wang tunai USD1 juta bersamaan dengan sekitar RM4.67 juta.

Yums sendiri sudah menyatakan bahawa dia mahu menyerahkan kesemua hadiah kemenangannya kepada ibunya sebagai penghargaan.