Jurulatih skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Antonio Miguel Garcia atau lebih mesra dengan panggilan Juanito tanpa berselindung memuji aksi mantap dipamerkan tiga pemain tempatan Selangor pada perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia (PFM) 2024, petang semalam.
Pertembungan menarik yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu menyaksikan JDT menang 3-2 sekali gus mengesahkan kejuaraan berganda pada musim ini.
Baca Juga:
- JDT Raih Kejuaraan Berganda, Julang Piala Futsal Malaysia 2024
- Media Luar Negara Puji Axiata Arena Sebagai Gelanggang Final Piala Futsal Malaysia 2024
- Nostalgia Malaysia Mengharungi Piala Dunia Futsal 1996 Tanpa Pengalaman Futsal
Bulan lalu, JDT muncul juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 selepas menamatkan kempen liga dengan 39 mata hasil 13 kemenangan dan satu kekalahan, berkelebihan enam mata meninggalkan pencabar terdekat, Selangor.
Menurut sumber laporan Majoriti selepas tamat perlawanan semalam, Juanito menghamburkan kata-kata pujian terhadap saingan sengit diberikan Selangor.
Malah beliau turut menamakan tiga tonggak Selangor yang disifatkannya sebagai barisan pemain yang sangat berkualiti.
Pemain-pemain yang dimaksudkan ialah Syahir Iqbal Khan Akhbar Khan (19 tahun), Muhammad Faris Mohd Johan (24 tahun) dan Syed Aizad Daniel Syed Nasir (28 tahun).
Trio tersebut jelas merupakan sandaran utama buat Selangor pada dua musim terakhir ini malah ketiga-tiganya merupakan pemain skuad futsal kebangsaan.
Syahir telah meledakkan 12 gol dalam saingan liga manakala menambah lima jaringan lagi ketika kempen PFM 2024.
Faris dan Syed Aizad yang merupakan pemain dominan dengan kaki kiri turut merupakan antara penyumbang jaringan buat pasukan Selangor.
Kelincahan mereka jelas membuatkan barisan pemain JDT berdepan kesukaran untuk merantai pergerakan mereka.
Juanito dalam pada itu turut tidak menolak hakikat bahawa berminat untuk mendapatkan khidmat mereka tetapi sedar ia bukanlah tugas mudah.
Malah, pengendali kelahiran Sepanyol itu menghormati barisan anak buahnya dan hanya mahu memberikan fokus dalam meraikan kejayaan muncul juara terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang rekrut baharu pasukan.