Cristiano Ronaldo merupakan satu sosok tubuh yang tidak perlu lagi untuk diperkatakan mengenai pencapaian hebat dilakarkan sepanjang kariernya.
Sudah 25 tahun beraksi di pentas bola sepak dengan berkelana ke England, Sepanyol, Itali dan kini ke Arab Saudi, pemain berusia 40 tahun itu semakin menghampiri angka jaringan ke-1000 dalam kariernya.
Baca Juga:
- Jadi Atlet Terkaya Dunia, Ini 6 ‘Business’ Cristiano Ronaldo
- Ronaldo Beritahu ‘Klonnya’ Bahawa Dia Sangat Hodoh
- Ini Nasihat Cristiano Ronaldo Buat Semua Pemain Manchester City
Pada usia yang boleh dianggap ‘senja’ dalam kancah bola sepak kompetitif, Cristiano Ronaldo masih mempunyai fizikal serta kecergasan di tahap tertinggi.

Sesuatu yang jarang dilihat pada pemain bola sepak profesional yang berusia sebegitu.
Semua itu bagaimanapun tidak diperoleh dengan mudah kerana Ronaldo seperti diketahui dikenali dengan dedikasi luar biasa ini terus berlatih tanpa mengenal penat, mengutamakan rutin pemulihan intensif serta menjaga pemakanan yang sangat teliti.
Berikut merupakan regim latihan yang diamalkan oleh Cristiano Ronaldo untuk mendapatkan hasil seperti hari ini:
1) Latihan tambahan yang sangat memenatkan
Kita semua mempunyai jumlah masa yang sama dalam sehari seperti Ronaldo, tetapi kita mungkin tidak memanfaatkannya dengan sebaiknya mengikut rejim kecergasan intensifnya.
Menurut pelbagai sumber, Ronaldo akan pergi ke gimnasium selama 25 hingga 30 minit untuk latihan kardio dan angkat berat yang disasarkan sebanyak lima kali seminggu.
Jumlah keseluruhan latihannya berjumlah kira-kira tiga hingga empat jam sehari.
2) Titikberatkan soal pemakanan
Tidak mengejutkan bahawa ia memerlukan disiplin yang serius untuk mengekalkan otot abdomen itu dan bukan hanya gim yang membuatkan tubuh Ronaldo kelihatan seperti itu.
Diet pemakanan beliau juga sama teratur seperti rejim senamannya dan Ronaldo dikatakan tidak mengikut rutin biasa dengan ‘sarapan, makan tengah hari, dan makan malam’ yang lazim dikenali oleh kebanyakan orang.
Sebagai ganti tiga hidangan utama sehari tersebut, Ronaldo memilih enam hidangan kecil dan turut bekerjasama dengan seorang pakar pemakanan.

Ronaldo dilaporkan mengekalkan diet yang kaya dengan nutrisi daripada ikan segar dan avokado kepada quinoa (bijian herba yang tinggi dengan protein, serat diet, vitamin b dan mineral) dan buah-buahan segar.
Sumber protein pilihannya adalah ayam. Selain itu, beliau juga mengelak daripada alkohol dan minuman manis dengan air mineral adalah kesukaannya.
3) Utamakan waktu tidur
Cristiano Ronaldo mengatakan dirinya tidur seperti seorang bayi. Beliau menetapkan syarat jadual tidur siang yang ketat selama 90 minit.
Teknik ini dikenali sebagai ‘tidur polifasik’ dan direka untuk memecahkan kitaran tidur biasa anda kepada sesi tidur siang yang serupa dengan cara bayi tidur.
4) Turut mengambil makanan tambahan
Bukan hanya diet dan rejim senamannya yang memberi sumbangan kepada fizikalnya yang luar biasa.
Ronaldo telah menjadi duta untuk Herbalife selama lebih dari satu dekad dan mengakui jenama suplemen pemakanan sukan itu sebagai salah satu faktor kejayaannya dalam mencapai prestasi terbaik.
5) Kerap mengamalkan sesi krioterapi
Menurut sumber laporan Sport Bible, ketika Cristiano Ronaldo kembali ke Manchester United pada tahun 2021, beliau telah memasang sebuah ruang krioterapi mewah bernilai £50,000 di rumahnya.
Ruang krioterapi menggunakan nitrogen cecair untuk membekukan udara di dalam ruang tersebut kepada suhu sekitar -200°C.
Tujuannya adalah untuk membantu mengurangkan bengkak akibat kecederaan dan keradangan serta meningkatkan peredaran darah.
Amalan kesihatan ini terkenal digunakan oleh atlet-atlet terkemuka untuk pemulihan.