Pemain tengah kelahiran Brazil, Oscar masih lagi berada di China dalam menggalas tanggungjawab bersama pasukan Liga Super China, Shanghai Port.
Meninggalkan Chelsea selepas lima musim, Oscar mengambil keputusan yang cukup drastik dengan berkelana ke China hanya pada usia 25 tahun.
Baca Juga:
- Pelancong China Ini ‘Taubat’ Tak Mahu Datang Bercuti Ke Kuala Lumpur Lagi
- Angkara Messi, China Batalkan Dua Aksi Persahabatan Argentina
- Media China Kritik Dion Cools Dengan Tuduhan Lupa Asal Usul
Beliau menyertai kelab yang sebelum ini dikenali sebagai Shanghai SIPG itu dengan yuran perpindahan bernilai £60 juta.
Selain Oscar, terdapat beberapa pemain ternama yang turut memilih untuk berhijrah ke China seperti Carlos Tevez (Shanghai Shenhua), Alexandre Pato (Tianjin Tianhai), Axel Witsel (Tianjin Quanjian) dan Paulinho (Guangzhou Evergrande).
Ketika pemain-pemain tersebut sudah meninggalkan Tanah Besar itu, Oscar masih lagi ‘merumput’ di sana dan telah membuat 162 penampilan liga dengan menjaringkan 52 gol serta memenangi dua kejuaraan Liga Super China dan sekali muncul juara Piala Super China FA.
Menurut sumber Sportbible, sepanjang berada di sana beliau turut menikmati limpahan wang dimana dilaporkan menerima hampir £26 juta setahun.
Pada Disember 2019, Oscar memperbaharui kontraknya untuk lima tahun tambahan. Ia jelas merupakan keputusan bijak buatnya kerana sebulan kemudian, kerajaan China telah memperkenalkan had gaji siling sebanyak £3.2 juta setahun untuk pemain asing.
Oscar bagaimanapun terkecuali daripada had gaji itu kerana beliau menandatangani perjanjian barunya sebelum pengumuman tersebut dibuat.
Sehubungan dengan itu selepas tujuh tahun beliau berhijrah ke China, pemain tengah itu telah menerima kira-kira £187 juta (anggaran RM885 juta).
Ia hanya melibatkan jumlah keseluruhan gaji sahaja tidak termasuk bonus dan pembayaran lain.