Saban tahun kita melihat skuad sepak takraw Malaysia berdepan kesukaran untuk menewaskan musuh tradisi, Thailand di mana-mana pertandingan peringkat antarabangsa.
Ada pendapat daripada peminat sepak takraw tanah air mengatakan kaedah ‘lipat maniam’ yang sering digunakan perejam (killer) negara menjadi masalah utama kegagalan kita menumpaskan jiran sebelah tersebut.
Baca Juga:
- Perak Cemerlang Muncul Juara Piala Tun Ali 2023
- Noraizat Nordin Tak Sangka Ungguli Piala Tun Ali Buat Kali Kedua
- Lihat Pasukan Sepak Takraw Thailand “Menganjing” Pasukan Malaysia
‘Lipat maniam’ (sunback kick) merupakan kaedah yang cukup popular buat para perejam sebagai senjata utama bagi mendapatkan mata dalam sepak takraw.
Ia juga tidak terkecuali dapat disaksikan dalam mana-mana pertandingan sepak takraw tanah air seperti Sepaktakraw League (STL), Piala Emas Khir Johari mahupun Piala Tun Ali yang menampilkan pemain-pemain ternama.
Dalam kejohanan-kejohanan tersebut menyaksikan sebahagian besar perejam menggunakan lipat maniam seperti ditampilkan Noraizat Nordin (Perak), Azlan Alias (Pulau Pinang), Afifuddin Razali (ATM) dan ramai lagi.
Kaedah tersebut secara tidak langsung mewujudkan perdebatan dalam kalangan peminat sepak takraw tanah air.
Hal ini kerana ada juga yang berpendapat bahawa skuad sepak takraw negara akan terus gagal menewaskan pasukan gergasi, Thailand selagi perejam menggunakan teknik lipat maniam dan perlu mengubah ke lipat gulung.
Benarkah lipat maniam punca Malaysia sering kali gagal ketika berdepan Thailand?
Melihatkan kepada prestasi semasa atau menyingkap kembali beberapa tahun kebelakangan ini, soal penerapan teknik lipat maniam bukanlah perkara utama kegagalan skuad negara menewaskan Thailand.
Perak telah membuktikan perkara tersebut dengan berbekalkan kepada teknik libasan kegemaran Noraizat mampu untuk menjadi nadi kekuatan pasukan dalam menewaskan Kuala Lumpur yang dibarisi oleh Syahir Rosdi, Amirul Zazwan Amir dan Thawisak Thongsai pada separuh akhir Piala Tun Ali 2023 tempoh hari.
Sedangkan kita semua sudah sedia maklum bahawa Thawisak mempunyai kualiti yang cukup hebat dalam melakukan libasan gulung.
Malah, dua kejayaan terakhir skuad negara menewaskan Thailand iaitu pada Sukan SEA 2005 di Manila serta Siri Super Istaf Malaysia 2015 juga dibantu dengan sentuhan lipat maniam daripada Mohd Futra Abd Ghani dan Hanafiah Dollah.
Bukan mahu menidakkan libasan gulung yang sememangnya mampu untuk meningkatkan kekuatan skuad negara.
Tetapi, sebaliknya terdapat beberapa aspek penting perlu dilihat dengan cukup teliti sehingga menjurus kepada kesukaran buat skuad sepak takraw negara dalam usaha meraih kemenangan ke atas kuasa besar tersebut.
Sehubungan dengan itu, kita perlu akui bahawa terdapat masalah yang lebih besar membelenggu skuad negara berbanding penggunaan lipat maniam tersebut.
Apa masalah sebenarnya buatkan skuad negara sering dikecewakan Thailand?
Permasalahan utama yang menghantui barisan pemain negara sehingga berdepan kesukaran untuk menewaskan negara jiran tersebut adalah melibatkan perihal kualiti dan konsistensi.
Sebagai contoh Syahir Rosdi selaku tekong yang cukup disegani di pentas antarabangsa jelas mempunyai kualiti hebat untuk memberikan kesukaran buat Thailand.
Namun ada ketika terutamanya sewaktu bertemu Thailand, beliau seperti kehilangan punca dan gagal untuk menjelmakan servis-servis berbisa yang sering menjadi kekuatan buatnya untuk menghukum lawan.
Dua tekong muda berbakat besar, Haziq Khairul Nizam dan Zarif Marican Ibrahim Marican perlu dipersiapkan dengan cukup rapi untuk menjadi pengganti berkualiti buat Syahir.
Aspek konsisten juga tidak boleh dipisahkan dengan perejam dan pengumpan yang sering kali kehilangan fokus ketika cuba mengumpan bola untuk servis dan rejaman.
Keadaan tersebut turut berkait rapat dengan kualiti yang ada dalam kalangan pemain walaupun sudah berstatus pemain kebangsaan turut mempengaruhi keadaan tersebut.
Kualiti ketika bertahan serta kemahiran dalam ‘memetik’ bola pertama juga sering menjadi masalah buat pemain negara ketika aksi-aksi genting bertemu Thailand.
Mungkin nadanya agak keras tetapi hakikat yang perlu ditelan bahawa masih terlalu banyak kelemahan dari segenap aspek permainan oleh barisan pemain skuad negara.
Ia melibatkan aspek kualiti servis, balingan bola kepada tekong untuk melakukan servis, ‘setting’ bola untuk direjam oleh apit kanan, kemahiran mengangkat pelbagai variasi servis dan banyak lagi.
Semua elemen tersebut perlu diperbaiki secara total untuk melihat pembaharuan dalam aksi skuad negara selepas ini. Sekiranya tidak diperbaiki, peminat akan semakin lali dengan berita kekalahan kepada Thailand.
Sehubungan dengan itu, kegagalan skuad sepak takraw Malaysia menewaskan Thailand sebenarnya bukanlah berpaksikan kepada alasan para pemain tidak menggunakan lipat maniam mahu pun gulung seperti didebatkan.
Sebaliknya, pelbagai aspek kelemahan dapat disaksikan tanpa melihat kepada penggunaan rejaman tersebut dan nyata ia perlu diambil berat para pemain serta barisan kejurulatihan.
Apa-apapun pastinya kita mengharapkan segala kelemahan ini dapat diperbaiki untuk melihat skuad sepak takraw Malaysia yang mampu menghadirkan kejayaan buat tatapan seluruh peminat tanah air.