Pengurus Barcelona, Hansi Flick kini boleh tersenyum lebar buat seketika apabila pemain baharu, Dani Olmo sudah berjaya didaftarkan selepas hampir tiga minggu pemain tersebut menyertai pasukan.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Olmo masih belum dapat didaftarkan ekoran masalah kewangan Barcelona hingga menyebabkan beliau terlepas dua perlawanan awal LaLiga bertemu Valencia dan Athletic Bilbao.

Baca Juga:

Kini segalanya berada di landasan terbaik buat pemain skuad kebangsaan Sepanyol itu apabila sumber laporan Goal menyebut masalah dihadapi The Blaugrana sudah berakhir.

Hal ini kerana kecederaan panjang iaitu Achilles Tendon yang dialami pemain pertahanan, Andreas Christensen membolehkan Olmo menjadi penggantinya untuk didaftarkan.

Ini bermakna Dani Olmo bakal diturunkan oleh Flick pada perlawanan ketiga LaLiga bertemu Rayo Vallecano dalam kunjungan ke El Estadio de Vallecas, awal pagi esok.

Pengkhabaran yang melonjakkan lagi moral barisan pemain Barcelona selepas mereka menang 2-1 ketika bertemu Valencia dan Athletic Bilbao.

Dani Olmo yang merupakan produk La Masia tidak pernah beraksi bersama skuad utama Barcelona sebelum ini dan beliau direkrut dengan yuran perpindahan bernilai $60 juta dari RB Leipzig.

Barcelona berpeluang untuk menghuni tangga teratas dengan sembilan mata maksimum sekiranya berjaya menundukkan Rayo selepas Celta Vigo yang sebelum ini memimpin liga dengan kelebihan perbezaan jaringan tewas kepada Villareal 4-3 awal pagi tadi.

Keputusan itu sekali gus mengubah kedudukan yang menyaksikan Villarreal di puncak liga buat sementara dengan tujuh mata manakala diekori Celta Vigo.