Karim Benzema secara peribadinya melihat bekas rakan sepasukannya ketika di Real Madrid iaitu Vinicius Jr mampu muncul selaku pemenang anugerah Ballon d’Or 2024.

Benzema yang memenangi gelaran tersebut pada tahun 2022 percaya dengan kemampuan hebat ditampilkan pemain sayap kelahiran Brazil itu dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan LaLiga sehingga Real Madrid berjaya muncul juara bagi kedua-dua saingan.

Baca Juga:

Dalam kempen LaLiga, Vinicius Jr merakamkan 15 gol dan enam bantuan jaringan  manakala tambahan enam jaringan dalam kempen UCL serta lima bantuan dicatatkan.

“Saya mahu mengatakan Vini [adalah pilihan untuk memenangi anugerah] atas musim hebatnya dan bukan hanya kerana apa yang telah dia buktikan pada tahun ini.”

“Tetapi juga dengan apa yang telah dia lakukan pada tahun lalu, dia juga mengatasi pemain yang lain dengan bola sepak ditampilkannya dan apa yang dia lakukan dengan bola.”

“Dia masih muda, seorang pemain bola sepak yang lengkap. Dia boleh memenangi perlawanan dengan sendiri, sudah tentu dengan bantuan rakan sepasukanya yang lain.”

“Tetapi dia sangat bagus apabila Real Madrid memerlukan khidmatnya dan itulah sebabnya saya merasakan dia layak untuk memenangi Ballon d’Or.”

“Dia selalu ada, dan selalu muncul dengan aksi menarik. Untuk semua itu, calon kegemaran saya adalah Vini,” ujar Benzema menurut sumber laporan Goal.

Ballon d’Or atau dalam bahasa inggeris sebagai ‘Golden Ball’ merupakan anugerah tahunan yang diperkenalkan pada 1956 dimana Sir Stanley Matthews menjadi pemenang pertama.

Seperti diketahui legenda Argentina, Lionel Messi muncul penerima terbanyak dengan lapan kali dinobatkan sebagai pemenang.