Penjaring gol terbaik Piala Asia 2023, Faisal Halim sah tidak beraksi dalam saingan Pestabola Merdeka sekaligus mengundang pelbagai pertanyaan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Faisal atau dikenali sebagai ‘Mickey’ kini telah kembali beraksi bersama Selangor selepas berehat panjang akibat insiden simbahan asid yang berlaku di pusat beli belah pada bulan Mei lalu.

Baca Juga:

Bagaimanapun, hasrat peminat untuk menyaksikan kelibatnya kembali bersama skuad Harimau Malaya tidak menjadi kenyataan selepas namanya tiada dalam senarai 26 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih baharu, Pau Marti.

Menurut Pau Marti, beliau mahu Faisal memberi fokus kepada proses pemulihan sebelum dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

“Saya gembira apabila Faisal kembali beraksi, menunjukkan kekuatan dan karakternya jadi ini sesuatu yang boleh kita pelajari dan membuatkan kita bangga.

“Saya sentiasa berhubung dengan Faisal tetapi saya rasa buat masa ini, biarlah dia fokus kepada proses pemulihan, mendapatkan semula tahap kecergasannya dan mendapat minit permainan bagi memastikan dia boleh kembali ke tahap terbaiknya.

“Apabila tiba masanya nanti, sudah tentu pasukan, dia (Faisal) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mencari masa terbaik untuk dia kembali beraksi bersama skuad kebangsaan,” katanya dipetik dalam Berita Harian.

Grafik: FAM

Berdasarkan senarai pemain yang dipanggil, Pau Marti telah mengekalkan seramai 18 daripada 26 pemain dari skuad bagi dua perlawanan terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei pada 6 dan 11 Jun 2024.

Lapan pemain baharu yang kembali disenaraikan ialah penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Arif Aiman Mohd Hanapi, Romel Morales, Afiq Fazail, Azam Azmi Murad, Darren Lok, Harith Haiqal Adam Afkar dan Syafiq Ahmad.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 iaitu Separuh Akhir menentang Filipina pada Rabu, 4 September 2024, jam 9.00 malam. Satu lagi perlawanan Separuh Akhir menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari yang sama, jam 4.30 petang.