Penganjuran Sepak Takraw League (STL) sudah memasuki edisi ke-10 pada tahun ini dengan perubahan format yang pasti menjanjikan aksi lebih menarik dan mendebarkan.
Bermula dengan saingan sulung pada 2014 yang melibatkan pasukan-pasukan amatur, STL saban tahun telah memperlihatkan perkembangan positif dari semasa ke semasa.
Baca Juga:
- STL 2024: Kritsada & Treepong Perkuatkan Perak Bison Hadapi Musim Baharu
- Ini Penyebab Skuad Sepak Takraw Malaysia Sering Hadapi Kesukaran Ketika Bertemu Thailand
- Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Sukan ‘Chinlone’
Keadaan itu juga secara tidak langsung telah menarik minat serta berjaya menggamit kehadiran ribuan peminat sukan tradisi itu untuk membanjiri stadium.
Edisi 2024 menyaksikan saingan STL Premier bakal berubah format dengan pengenalan pusingan Grand Prix (GP) di lima lokasi berbeza.
Format baharu Liga Premier STL 2024
Dengan kata yang lebih mudah, 12 pasukan yang bertanding dalam Liga Premier STL akan diundi kepada empat kumpulan dimana satu kumpulan mengandungi tiga pasukan.
Undian tanpa ‘seeding pots’ itu akan diadakan pada setiap GP dan bermakna tiada pasukan yang mempunyai kelebihan walaupun sudah bergelar juara bagi GP sebelumnya.
Dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke suku akhir dan kemudiannya merebut tempat ke separuh akhir dan perlawanan akhir. Ini bermakna setiap GP yang diharungi oleh setiap pasukan, akan terdapat satu pemenang.
Dengan lima GP akan diharungi, terdapat mata terkumpul akan diberikan meskipun pasukan bertanding gagal melepasi peringkat kumpulan.
Sudah pasti lebih jauh perjalanan pasukan dalam GP tersebut, semakin tinggi mata yang diberikan. Pasukan dengan kutipan mata tertinggi sehingga tamat GP kelima akan dinobatkan selaku juara keseluruhan.
Dimana GP tersebut bakal berlangsung
1) GP Selangor (11 – 15 September) – Stadium Melawati, Shah Alam
2) GP Terengganu (24 – 28 September) – Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu
3) GP Perak ( 9 – 13 Oktober) – Stadium Indera Mulia, Ipoh
4) GP Penang (16 – 20 Oktober) – SPICE Arena, George Town
5) GP Johor ( 29 Oktober – 2 November) – Stadium Arena Larkin, Johor Bahru
6) Champions Cup (13 – 17 November) – Stadium MBSJ, Serdang Jaya
Pasukan yang bertanding
1) Perak Bison
2) Kuala Lumpur Thunder
3) Penang Black Panthers
4) ATM Guardians
5) KPT- Masum Knights
6) Johor Tigris
7) Negeri Sembilan Antlers
8)Bomba Fighters
9) PDRM Defenfers
10) Terengganu Turtles
11) Kelantan Warriors
12) Selangor Pistons