Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menganggap Nazmi Nasaruddin membuat keputusan tepat dengan tidak memberikan sepakan penalti kepada Kedah Darul Aman dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini.
Pada lewat separuh masa kedua, Fayyadh Zulkifli sedang merebut bola dengan Shahrul Saad dan bola terkena tangan Shahrul ketika di udara sekaligus membuatkan pemain Kedah meminta sepakan penalti.
Baca Juga:
- Piala FA 2024/25: Terengganu Bawa Kelebihan Satu Gol Ke Kelana Jaya, Atasi Selangor 3-2
- Piala FA 2024/25: Gol Romel Morales Bantu JDT Atasi Kedah 2-1
- Piala FA: Kedah Ada ‘Senjata Rahsia’ Ganti Tempat Syafiq Ahmad
Nazmi kemudiannya menyemak insiden itu melalui VAR dan tidak memberikan sepakan penalti kepada Kedah selepas inisden tersebut.
Menurut laporan Berita Harian, Subkhiddin menilai tindakan Nazmi Nasaruddin tepat kerana tidak semua insiden bola terkena tangan dianggap sebagai kesalahan.
“Menggunakan tangan boleh dibenarkan (justifiable) apabila ia membantu pemain mendapat keseimbangan di udara apabila cuba merebut bola dengan pemain lawan.
“Ini sangat penting dan Nazmi mengambil keputusan yang betul,” kata Subkhiddin.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kem JDT melonjak kegembiraan ketika aksi memasuki minit ke-24 apabila hantaran lolos cantik Heberty Fernandes disudahkan dengan tenang Oscar Arribas bagi meletakkan pasukan dihadapan.
Habib Haroon menggamatkan stadium pada minit ke-87 selepas beliau mudah menolak masuk bola ketika situasi kelam-kabut dalam kawasan penalti untuk kembali mengikat kedudukan.
Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi moral anak buah Nafuzi Zain untuk menambah jaringan. Namun, sepakan percuma Sony singgah di palang gol pada masa kecederaan.
Ketika aksi dilihat bakal berkesudahan 1-1, Romel Morales muncul wira buat JDT selepas pemain kebangsaan itu menolak masuk bola hasil tandukan Murilo Henrique untuk menghadiahkan kemenangan buat skuad Harimau Selatan.
JDT dan Kedah akan bertemu sekali lagi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada aksi kedua yang bakal diadakan 4 Ogos nanti.