Pasukan Israel sepatutnya digantung dari menyertai mana-mana kejohanan di peringkat antarabangsa selepas melanggar statut yang tertulis dalam badan bola sepak dunia iaitu FIFA.
Perkara ini dinyatakan oleh sekumpulan peguam yang mahir dalam bidang undang-undang antarabangsa dan juga hak asasi manusia dimana Israel dianggap sudah melanggar banyak peraturan terutamanya hak asasi manusia rakyat Palestine.
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Dunia: Palestine Cipta Sejarah Mara Ke Pusingan Ketiga
- Presiden Palestin Salahkan Hamas Jadi Punca Perang Dengan Israel
- Pemain Bola Sepak Palestin Maut Dalam Serangan Israel
Salah seorang peguam iaitu Max du Plessis yang merupakan sebahagian daripada peguam yang mengendalikan kes dibawa oleh Afrika Selatan dimana mereka menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, menulis analisis bersama Sarah Pudifin-Jones mengenai kesalahan yang dilakukan oleh regim zionis.
“Tidak dapat dinafikan bahawa kelakuan Israel di Palestin telah menjejaskan objektif FIFA sebagai badan bola sepak antarabangsa. Israel telah mencabuli hak asasi manusia Palestin yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, bertentangan dengan Perkara 3. Mereka telah mendiskriminasi rakyat Palestin atas dasar kaum, asal usul dan kelahiran yang bercanggah langsung dengan Perkara 4(1).
“Tindakan mereka jelas bertentangan dengan objektif kemanusiaan yang diterangkan dalam Perkara 5.1(b). Tingkah laku Israel menuntut kecaman, selaras dengan pendirian yang diterima pakai oleh FIFA berhubung dengan pelanggaran berat yang sama terhadap objektifnya dan hak asasi manusia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” dipetik dari laporan Reuters.
Sebelum ini, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberikan sokongan kepada FA Palestine selepas mereka menghantar surat kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) agar menggantung Israel dari menyertai mana-mana kejohanan.
Dalam kongres AFC yang berlangsung di Bangkok Mei lalu, badan bola sepak Asia itu menerusi presiden iaitu Sheikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa menyokong tindakan Palestine ekoran serangan yang dilancarkan oleh Israel ke atas negara itu yang turut menyebabkan puluhan ribu rakyat tidak bersalah menjadi mangsa.
“AFC kuat kerana ahlinya dan apabila seseorang menderita, semua anggota yang lain akan terjejas. Kami berdiri bersama Palestine, dan kami menyertai mereka dalam mencari jalan penyelesaian berkaitan bola sepak yang berkesan untuk aduan yang dibangkitkan oleh PFA dalam cadangan mereka.
“Adalah menjadi kewajipan kami untuk menyokong Palestin bagi mencari penyelesaian yang pantas dan berkesan selaras dengan peraturan, peraturan dan statut AFC dan FIFA,” kata Sheikh Salman.