“Awak keluar dulu,” itulah ayat terakhir yang dipesan oleh Nurul Nazihah Kamalul Arifin kepada suaminya sejurus kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Sedenak, malam tadi.

Redzuan Jamil, 28, berkata, dia yang berjaya ditarik keluar orang ramai melalui tingkap bahagian penumpang belakang itu kemudian cuba menyelamatkan isterinya.

HYPE
Wayout Solution Cipta Sejarah Rangkul Anugerah Company Of The Year
Baca lagi →

Baca Juga:

Namun cubaan menyelamatkan isterinya dengan memecahkan cermin hadapan kereta dan pintu penumpang hadapan tidak berjaya malah mangsa tersepit di tempat duduk hadapan.

“Ketika itu tangki minyak kereta tiba-tiba meletup menyebabkan orang ramai menarik saya kerana api terlalu marak.

“Walaupun api marak namun saya tidak merasa bahang panas api malah isteri juga tidak memanggil nama saya apatah lagi meraung selepas dia meminta saya keluar menyelamatkan diri dahulu,” katanya ketika ditemui di kediaman mentuanya di Kampung Lukut Batu 4 di sini, hari ini.

Menurut laporan Harian Metro, dua individu maut dalam kenderaan yang marak terbakar selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan babitkan lima kenderaan di lebuh raya berkenaan.

Identiti seorang lagi mangsa yang maut dari kereta berasingan masih belum dapat dikenal pasti.

Redzuan yang mengalami kesan melecur di muka menceritakan semula detik-detik hitam itu berlaku, semuanya bermula apabila sebuah lori lima tan merempuh beberapa kenderaan, termasuklah kereta dinaiki dia dan isterinya sebelum orang ramai menarik dia keluar dari kereta semasa berlaku kesesakan di lebuh raya berikutan kemalangan lain yang turut berlaku berhampiran kawasan itu.

Sebelum kejadian, Redzuan serta isterinya baru selesai bertemu pelanggan di Kluang dan dalam perjalanan ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri bagi menyaksikan JDT menentang Sabah FC.