Isu Mats Deijl yang tidak dapat beraksi bersama skuad kebangsaan Malaysia dijadikan sebagai bahan ketawa oleh peminat Indonesia di laman media sosial.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini, FIFA mengesahkan bahawa dokumentasi yang telah dilampirkan, Mats Deijl hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang beliau dan bukannya melalui datuk atau nenek sepertimana yang ditetapkan dalam syarat badan itu.

Baca Juga:

Berdasarkan semakan, pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang (ibu kepada datuk pemain) yang telah lahir di Singapura pada 24 Jun 1893, yang mana Singapura merupakan sebahagian dari Tanah Melayu ketika itu.

Selepas pengumuman ini dibuat, peminat negara seberang tidak membuang masa dengan menyindir Malaysia kerana kegagalan mereka mendapatkan khidmat Deijl.

Malah, ada peminat yang menyenaraikan isu pemain berusia 27 tahun itu sebagai salah satu kegagalan terbaru selepas Malaysia tidak berjaya layak ke pusingan ketika kelayakan Piala Dunia 2026 dan saingan AFC B-20 Tahun yang bakal berlangsung pada 2025.

Berbeza dengan negara jiran, Indonesia lebih berjaya dalam hal mendapatkan khidmat pemain warisan yang mana separuh daripada pasukan senior dibarisi oleh pemain kacukan Belanda.

Baru-baru ini, dua pemain iaitu Mees Hilgers dan Eliano Reijnders telah mendapat kerakyatan Indonesia sekaligus boleh beraksi bersama skuad Garuda.

Bagi Malaysia, FAM perlu mencari pemain lain yang menepati peraturan ditetapkan oleh FIFA sekaligus perlu lebih teliti dan berhati-hati ketika menghantar dokumen pemain untuk proses pengesahan.

Menurut badan itu, sudah berhubung dengan beberapa pemain lain sepertimana yang dicadangkan atau dihebahkan di platform media sosial, namun setakat ini tiada yang positif terutama dari segi dokumen kesahihan pemain tersebut memiliki darah keturunan Malaysia yang melepasi syarat ditetapkan oleh FIFA.