Kelab yang sedang bersaing dalam kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024, Gombak TOT United difahamkan sedang bergelut dengan isu kewangan kronik sehingga menjejaskan ‘periuk nasi’ para pemain dan barisan kejurulatihan serta pengurusan.

Hal ini kerana para pemain sudah hampir memasuki tiga bulan tidak menerima sebarang bayaran gaji manakala empat bulan buat barisan jurulatih dan pengurusan.

Baca Juga:

Perkembangan terkini mengenai isu tunggakan tersebut disuarakan oleh ketua pasukan Gombak TOT United, Muhd Ridhwan Zainal di laman Facebook peribadi milik beliau.

Turut merupakan pemain bola sepak pantai Malaysia, Ridhwan meluahkan kekecewaannya asehari selepas pasukannya tewas 5-6 kepada pasukan tangga keempat liga, Shah Alam City.

Kredit foto: Facebook Ridhwan Zainal

“Bukan senang nak menang, kami dah usaha sehabis baik. Harap pihak Gombak FC mengambil berat tentang gaji kami sudah hampir 3 bulan tidak dibayar.’’

“Kami dah main bermati-matian tetapi yang kami dapat hanya penat sahaja. Jangan menganiayai kami satu pasukan.’’

“Sudah penat melayan janji manis. Tolong selesaikan gaji kami. Kami tidak halalkan kesemua gaji kami kalau tidak dibayar,’’ tambah Ridhwan lagi.

Dalam perkembangan lain mengenai masalah yang sedang dihadapi skuad Gombak TOT United, tiada tempat latihan khusus disediakan pada ketika ini dimana pemain hanya turun beraksi menghadapi perlawanan liga tanpa sebarang sesi latihan di gelanggang.

Ia bagaimanapun tidak merentap jiwa para pemain dimana mereka berjaya mengejutkan juara berganda musim lalu, Pahang Rangers 4-3 pada minggu lalu dan hampir sekali lagi melakar kejutan tetapi tewas 5-6 kepada Shah Alam City.