Lima restoran popular telah disahkan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Restoran terbabit termasuklah Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr Dakgalbi, dan Bungkus Kaw Kaw.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Pengumuman ini telah dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan dilaporkan oleh Berita Harian selepas menerima pertanyaan daripada pengguna yang prihatin tentang status halal restoran-restoran berkenaan.

Menurut kenyataan JAKIM, semakan dilakukan melalui sistem MYeHALAL yang mengesahkan bahawa lima restoran ini tidak memiliki sijil halal yang sah.

JAKIM menegaskan, bagi memastikan status halal sesebuah premis makanan, pengguna boleh melakukan semakan sendiri melalui Portal Halal Malaysia di pautan http://myehalal.halal.gov.my/portal-halal/v1/index.php.

Ini penting kerana sijil halal yang sah bukan sahaja menjamin makanan tersebut, tetapi juga kebersihan dan kualiti penyediaan makanan.

Dalam kenyataan yang sama, JAKIM turut memaklumkan bahawa jenama Ayam Penyet Best telah disahkan memiliki empat cawangan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.

Maklumat ini telah disampaikan kepada individu yang bertanya melalui e-mel pada 2 September lalu.

Meskipun status halal lima restoran popular ini menimbulkan persoalan, pengguna dinasihatkan agar melakukan semakan dan tidak mudah mempercayai khabar angin.

Untuk penjelasan lebih lanjut berkenaan isu-isu halal yang tular, pengguna boleh merujuk laman rasmi JAKIM di https://sites.google.com/islam.gov.my/skkbph/laman-utama.