Juara Piala FA 2024/2025, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menguji kekuatan skuad kebangsaan Singapura dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa pada September ini.
Singapura tidak mengatur sebarang pertemuan dengan mana-mana negara lain semasa jendela perlawanan antarabangsa FIFA yang berlangsung dari 2 hingga 10 September ini.
Baca Juga:
- Selangor Kaji Kelemahan Sebelum Lawan Pasukan Setaraf JDT Di Asia
- JDT Belasah Selangor, Julang Piala FA Kali Keempat
- Nidzam Jamil Akui Kecewa, Tidak Gembira Dibelasah JDT
Skuad bimbingan Tsutomu Ogura terbabit mengatur untuk bertemu dua kelab iaitu BG Tampines Rovers yang beraksi di saingan Liga Premier negara itu dan juga JDT.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), kedua-dua perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung pada 6 dan 7 September.
Antara nama yang dipanggil dalam skuad kali ini ialah kapten Selangor, Safuwan Baharudin serta anak kepada pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad iaitu Irfan Fandi dan Ilhan Fandi.
Bekas pemain JDT, Harris Harun turut berada dalam senarai dan beliau berkemungkinan besar bakal turun menentang bekas kelabnya dalam perlawanan yang dijadualkan nanti.
Difahamkan, pendekatan itu diambil oleh FAS berikutan tiada lawan yang sesuai selain ketua jurulatih dari Jepun yang dilantik pada 1 Februari lalu itu memerlukan masa berlatih yang lebih panjang.
Selepas jendela perlawanan FIFA pada September ini, Singapura akan beraksi dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric dimana mereka diletakkan dalam kumpulan A bersama Kemboja, Malaysia dan Thailand.