Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya merangkul trofi Piala FA buat kali
ketiga berturut-turut apabila membelasah Selangor FC (SFC) 6-1 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Sejak minit awal, perlawanan berlangsung cukup panas dengan kedua-dua pasukan mempamerkan permainan agresif. Beberapa percubaan berbahaya gagal menemui sasaran.
Baca Juga:
Namun begitu, JDT terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi sepakan percuma daripada Juan Muniz yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Selangor, Sam Somerville pada minit ke 23.
Ketika Selangor masih mencari rentak permainan, skuad kendalian Hector Bidgolio terus melancarkan serangan bertali arus dan berjaya menjaringkan gol kedua menerusi tandukan Arif Aiman hasil hantaran Oscar Arribas.
Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama namun Selangor mula menunjukkan kebangkitan ketika aksi separuh masa kedua bermula.
Usaha Selangor mengandakan asakan akhirnya membuahkan hasil apabila Alvin Fortes merapatkan jurang dengan merembat masuk gol pertama pada minit ke 58.
Bagaimanapun, jaringan itu tidak bertahan lama selepas Bergson Da Silva menambah gol ketiga JDT pada minit ke 61 apabila rembatannya gagal ditangkap kemas oleh Sam Somerville.
BERGSONNNNNNNN!#DemiLigaKita #JDTSEL pic.twitter.com/SuofvL17Ym
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) August 24, 2024
JDT terus memberi tekanan dan menghukum kelekaan benteng pertahanan Selangor. Hasil umpanan daripada Bergson, Juan Muniz mengambil kesempatan melakukan rembatan voli untuk gol keempat JDT pada minit ke 66.
Jaringan tersebut turut mematikan semangat pemain Selangor dan kali ini giliran Heberty menambah gol kelima pada minit 75. Juan Muniz juga sempat melengkapkan hatrik menerusi sepakan percuma pada minit ke 89 sekaligus jaringan keenam JDT di pentas final.
Keputusan 6-1 menyaksikan JDT julang trofi Piala FA buat kali keempat sejak tahun 2016.