Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kejuaraan berganda pada musim ini selepas menjulang Piala Futsal Malaysia (PFM) 2024 susulan kejayaan menundukkan Selangor 3-2 pada aksi final yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Kejayaan manis itu sekali gus melengkapkan pencapaian hebat skuad kendalian Juanito dimana pada bulan lalu mereka bergelar juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024.

Berdepan Selangor yang turut memiliki barisan mantap terutamanya dengan kehadiran Syahir Iqbal Khan Akbar Khan, Gabriel Rosa dan Wellington Adao Pereira, JDT jelas tidak diberikan laluan mudah sepanjang perlawanan.

JDT terlebih dahulu berada dihadapan apabila rembatan pemain import dari Brazil, Bruno Taffy dari luar kawasan D pada minit ke- gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Syawal Sabaruddin.

Kedua-dua pasukan saling melakukan serangan balas pantas untuk mengubah kedudukan hinggalah ia membuahkan hasil buat Selangor pada minit ke-17.

Jaringan penyamaan itu berpunca hasil Ketenangan Syahir Iqbal yang melakukan percubaan melepasi celah kaki Azrul Hadee Mohd Taufiq.

JDT kembali berada dihadapan pada minit ke- 27 selepas serangan balas pantas dicipta Firdaus Ambiah memberikan ruang kepada untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Tidak cukup dengan itu, Azwann Ismail mengukuhkan kedudukan buat JDT berselang enam minit kemudian selepas beliau yang tidak dikawal melepaskan rembatan untuk membolosi gawang Selangor.

Ketinggalan dua gol Selangor cuba mengurangkan defisit jaringan menerusi Aidil Shahril Rosli tetapi ia masih belum cukup untuk menghalang pesta gemilang buat skuad futsal JDT.