Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini secara rasmi mengumumkan Jalil Elias sebagai pemain import baharu skuad Harimau Selatan untuk saingan Liga Malaysia musim depan.
Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) sudah mengesahkan Elias akan menyertai Harimau Selatan menerusi satu temubual bersama stesen TV tempatan.
Baca Juga:
- TMJ: JDT Jadi Pasukan ‘Underdog’ Tahun Depan
- Senarai FIFA: Jumlah Mata JDT Lebih Tinggi Daripada Manchester United
- Hector Bidoglio Kembali Bergelar Ketua Jurulatih JDT
TMJ percaya kehadiran perancang tengah berusia 27 tahun itu mampu memberikan lebih keseimbangan di jentera penggerak Harimau Selatan.
“Dia merupakan pemain yang cukup baik di bahagian tengah, boleh bermain box to box dan defensive midfielder. Saya rasa dia akan beraksi dengan baik bersama JDT.
“Dia akan memberi lebih banyak keseimbangan di bahagian tengah pasukan,” kata TMJ dalam temubual bersama Astro Arena pada Oktober tahun lepas.
Berdasarkan laman sesawang Transfermarkt, Elias merupakan pemain termahal dalam skuad JDT selepas Jordi Amat dan Fernando Forestieri.
Kehadiran pemain tersebut menyaksikan beliau kini memegang status sebagai pemain termahal Liga Malaysia (Liga M) dengan nilai tiga juta Euro (RM15.2 juta).
Karier Jalil bermula dengan Newell’s Old Boy yang merupakan akademi melahirkan Lionel Messi. Dia diserap masuk ke pasukan utama beberapa tahun kemudian dan dipinjamkan ke Godoy Cruz dan menyertai kelab itu secara tetap.
Namun pada akhir musim 2018 dia kembali ke Newell’s sebelum kembali semula ke Godoy musim berikutnya. Selepas beberapa siri perpindahan dengan beberapa kelab terutama sekali Godoy, beliau kemudian menyertai San Lorenzo pada 2021.
Pada musim lalu dia bermain sebanyak 43 kali untuk San Lornezo dan menjaringkan 2 gol serta 3 assist. Dia turut menjadi kapten San Lorenzo.