Angin semakin bertiup kencang mengenai siapakah yang bakal menjadi pilihan untuk diumumkan sebagai pengendali baharu skuad negara (Harimau Malaya).

Selepas nama Esteban Solari, Arthur Papas dan Peter Cklamovski, kini John Paul Hutchinson pula dikatakan semakin hampir untuk mengisi kerusi panas ditinggalkan Kim Pan-gon itu.

Baca Juga:

Perkembangan terkini itu disahkan sumber portal tanah air, Scoop yang mendedahkan bahawa jurulatih berusia 44 tahun dari Australia itu akan bergelar ketua jurulatih skuad negara.

Menurut laporan tersebut, kehadiran John Hutchinson akan diumumkan secara rasmi pada 15 Disember nanti.

“Sebelum ini, FAM mempertimbangkan beberapa pilihan, termasuk jurulatih yang berpengalaman mengendalikan pasukan kebangsaan ke Piala Dunia, tetapi gaji mereka akan menelan kos sekitar RM7 juta setahun.”

“Oleh itu, Hutchinson merupakan pilihan yang lebih bijak dan kos efektif, terutamanya memandangkan pengalamannya dan rekod pencapaiannya.”

“Pada masa yang sama, Hutchinson juga mempunyai hubungan yang baik dengan penasihat teknikal pasukan kebangsaan FAM yang baru, Tim Cahill dan bersama-sama mereka boleh mengubah landskap pasukan kebangsaan dengan gabungan pengalaman mereka.”

“Hutchinson akan tiba di Malaysia dalam beberapa hari akan datang, dan FAM dijangka memperkenalkannya pada 15 Disember.”

“Beliau juga akan memantau prestasi pasukan kebangsaan dalam Piala Asean (Mitsubishi Electric 2024) yang sedang berlangsung untuk menilai pemain-pemain yang ingin dikekalkan atau dikeluarkan dalam pasukan yang dirombak,” ujar sumber laporan Scoop lagi.

Meskipun tanpa pengalaman mengendalikan skuad kebangsaan, Hutchinson kini cemerlang dalam saingan Asian Champions League (ACL) Elite 2024/25 dimana skuad kendaliannya, Yokohama F. Marinos bersama-sama Gwangju FC dan Vissel Kobe mengumpul 13 mata.

Beliau mula bertindak selaku pengendali sementara kelab J1 tersebut pada 15 Julai dan sebelum itu pernah menjadi pembantu kepada beberapa nama besar seperti Harry Kewell, Ange Postecoglu dan Kevin Muscat.

Selain bergelar pengurus Yokohama F. Marinos dan El Paso Locomotive FC (Amerika Syarikat), beliau pernah berkhidmat penolong pengurus Yokohama FC, Western United dan Seattle Sounders FC 2 (Amerika Syarikat).

Selain itu menurut sumber sama, Nafuzi Zain akan memegang tanggungjawab selaku ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) bagi menggantikan Juan Torres Garrido.

Ia jelas bukan perkara mengejutkan kerana Nafuzi sudah mengucapkan selamat tinggal buat pasukan lamanya, Kedah Darul Aman FC.

Skuad Harimau Malaya pada ketika ini dibimbing Pau Marti Vicente yang sedang menghadapi Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024.

Sumber