Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan hanya 7,010 tiket yang terjual setakat ini menjelang aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026, Malaysia menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) esok.
Ia bermakna kemungkinan tidak sampai 15,000 penyokong akan hadir di SNBJ memandangkan jualan tiket masih belum mencapai sasaran 10,000 sejak hari pertama perjualannya.
Sokongan padu peminat sangat ditagih oleh skuad Harimau Malaya bagi memburu sekurang-kurangnya 8 gol untuk mencerahkan peluang mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Tiket bagi tempat duduk terbuka berharga RM40 manakala penyokong boleh menikmati pengalaman lebih selesa dengan tambahan RM20 bagi tiket grandstand.
Tiket premium pula boleh anda dapatkan pada harga RM80 sambil kanak-kanak pula hanya dikenakan tiket berharga RM5.
Para penyokong setia Harimau Malaya masih boleh mendapatkan tiket perlawanan itu di laman web, tickethotline.com.my sehingga waktu sepak mula.
Sokongan padu peminat sekurang-kurangnya boleh menyuntik semangat pemain untuk memburu lebih 8 gol bagi memadam kelebihan jaringan yang dimiliki oleh Kyrgyzstan jika terikat jumlah mata yang sama.
Ianya sukar tetapi tak mustahil memandangkan skuad kendalian Kim Pan Gon itu pernah menewaskan Papua New Guinea 10-0 di tempat sendiri.
“Kami ada kelebihan. Adakah anda masih ingat, Kyrgyzstan juga dibolosi empat gol sebelum ini.
“Kami akan cuba sebaik mungkin, kami menang 7-0 dan anda (Kyrgyzstan) kalah 2-0 dah tentu kami mara,” kata pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon.