Khidmat pemain import dari Brazil, Murilo Carlos Saad ditagih juara bertahan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Pahang Rangers bagi menghadapi musim baharu.
Kedatangan pemain kelahiran Curitiba, sebuah bandar besar negeri Parana yang berada di selatan Brazil itu disahkan laman sosial rasmi Pahang Rangers, semalam.
Baca Juga:
- Pahang Rangers Turut Tepis Dakwaan JDT Gunakan Cara Kotor Untuk Dapatkan Pemain
- JDT Nafi Wujud Salah Laku Dalam Usaha Pancing Pemain Pahang Rangers
- Ridzwan Bakri, Kelincahannya Buat Lawan Gentar
Kehadiran pemain berusia 34 tahun itu pastinya diharapkan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan peledak berbisa, Sergio Jamur yang cemerlang dalam membantu Pahang Rangers menjuarai MPFL dan Piala Futsal Malaysia musim lalu.
Murilo hadir ke Kuantan dengan reputasi yang boleh dianggap hebat susulan kemampuannya dalam meledakkan jaringan, kemahiran individu berkelas dunia serta memiliki sosok tubuh keras bagi menghadapi tekanan pemain lawan.
Malah, kelab yang diwakili oleh Murilo juga bukanlah calang-calang pasukan dimana beliau sebelum ini pernah menyarung jersi Carlos Barbosa, Corinthians, Atlantico dan Joinville.
Bersama Carlos Barbosa, Murilo membantu kelab tersebut menjuarai Liga Gaucha De Futsal bagi dua musim berturut-turut (2022 dan 2023).
Manakala, tambahan piala dimenangi sewaktu beliau memperkuatkan skuad Corinthians seperti dua kali menjuarai Supercopa Brasil Futsal (2019 dan 2020), Copa Do Brasil Futsal (2018 dan 2019), Companeonato Paulista De Futasl 2019 serta Liga Paulista Futsal 2018.
Selain itu, beliau juga turut pernah berkelana ke Rusia untuk bersama KPRF Moskva dan MFC Mytischi.
Lebih menarik untuk diperkatakan, beliau pernah menjulang trofi Copa America Futsal pada edisi 2011 selepas menewaskan Argentina pada perlawanan akhir.
Murilo Carlos Saad berjaya menjaringkan dua gol sepanjang kejohanan dan diturunkan pada kesemua aksi yang turut menampilkan legenda futsal Brazil, Falcao.
Bersama skuad kebangsaan Brazil, Murilo difahamkan telah membuat sembilan penampilan dengan dua gol dihasilkan.
Dalam perkembangan lain, Pahang Rangers turut memburu seorang lagi pemain import selepas Amin Nasrollah Zadeh turut meninggalkan kelab tersebut.