Sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), jumlah kutipan sampah di Sungai Melaka akan dijadikan sebagai penanda aras atau indikator tahap kebersihan bandar Melaka dan kesedaran sivik penduduknya.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata indikator itu juga akan dijadikan garis panduan dalam merangka tindakan susulan untuk mempertingkatkan tahap kebersihan Sungai Melaka dan kawasan sekitarnya yang merupakan lokasi tarikan pelancong, petik Astro Awani.

Baca Juga:

“Kita adakan program Gotong-Rotong Perdana ini sebagai persediaan menyambut TMM2024 yang akan dilancarkan secara rasmi pada 31 Disember ini dan daripada program ini juga, saya hendak menilai tahap kebersihan Sungai Melaka berdasarkan jumlah kutipan sampah yang kita dapat.

“Kalau banyak jumlah kutipan sampah, maka kesedaran sivik rakyat Melaka dan pengunjung masih perlu dipertingkatkan dan jika sebaliknya, ia bermaksud Sungai Melaka terpelihara,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Gotong-Rotong Perdana Sungai Melaka Fasa II di Dataran Pengkalan Rama di sini hari ini.

Sumber Gambar: Facebook Ab Rauf Yusof

Program gotong-royong sejauh 5.2 kilometer yang disertai lebih 1,200 peserta itu bermula di Taman Rempah sehingga Pintu Kawalan Air Batu Hampar dan dibahagikan kepada lapan zon yang diketuai oleh rakan strategik antaranya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Syarikat Air Melaka, SWCorp dan Jabatan Kerja Raya.

Kata Ab Rauf, tahap kebersihan di Melaka sangat penting untuk negeri ini merealisasikan sasaran kemasukan 18.7 juta pelancong sepanjang TMM2024 nanti dan mahukan Sungai Melaka yang menjadi antara produk pelancongan Melaka setanding negara luar seperti Venice di Itali.

“Melaka pernah diiktiraf sebagai negeri dan kota terbersih, dan kita akan cuba dapat lagi anugerah itu insya-Allah pada tahun ini. Jadi, pelbagai usaha akan dilakukan termasuklah acara gotong-rotong sebegini dan ia akan diperluas ke daerah dan lokasi pelancongan lain secara berfasa,” katanya.

Sumber