Pemain yang baharu sahaja mendapat kerakyatan Indonesia, Justin Hubner optimis skuad kendalian Shin Tae-yong itu mempunyai peluang dalam saingan Piala Asia 2023.

Selesai sesi latihan pusat di Antalya, Turki serta menghadapi dua perlawanan persahabatan bertemu Libya, skuad kebangsaan Indonesia kini sudah tiba di Qatar.

Sehubungan dengan itu, pemain pertahanan Wolverhampton Wanderers tersebut juga jelas tidak sabar untuk turun beraksi bagi membantu pasukannya.

Hubner sah bergelar Warga Negara Indonesia (WNI) pada 6 Disember lalu apabila selesai melakukan upacara mengangkat sumpah dan janji setia di Pejabat Wilayah Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia, DKI Jakarta.

“Ini sangat luar biasa, kami dapat beraksi dalam saingan Piala Asia, saya sudah tidak sabar untuk memulakannya dan kami akan berlatih di sini. Kita juga berada dalam kumpulan dan [menghadapi] perlawanan yang sukar.”

“Tetapi kami merupakan sebuah pasukan yang sangat kuat, kami bekerja dengan sangat keras, saya berfikir kami mempunyai peluang di Piala Asia nanti.”

“Kami akan bertarung dan bekerja keras di perlawanan-perlawanan di peringkat kumpulan demi keluarga kami, untuk peminat dan semuanya.”

“Kita lihat sahaja nanti [hasilnya],” ujar Justin Hubner menurut kenyataanny di laman sesawang rasmi Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI).

Hubner dan rakan sepasukannya akan memulakan saingan di Qatar pada 15 Januari menentang Iraq dan kemudiannya menanti lawan serantau, Vietnam berselang empat hari kemudian.

Jepun bakal menjadi lawan terakhir skuad garuda itu di peringkat kumpulan pada aksi yang berlangsung 24 Januari.

Sumber