Saya suka makan kaki ayam. Setiap kali tengok kaki ayam, saya akan teringat kisah kaki ayam goreng Kentucky pasar malam masa saya kecil dulu.
Masa saya dan Kak Ngah di darjah 2 dan darjah 5, kami tinggal di kuarters polis Padang Hiliran, Kuala Terengganu. Setiap hari, Umie akan berjalan kaki menghantar kami dua beradik ke sekolah rendah.
Adik Manja
Sekolah kami agak jauh dari rumah dan perjalanan kami adik beradik bersama Umie ke sekolah agak memenatkan. Lebih-lebih lagi ketika waktu pulang. Matahari tegak di kepala. Baju uniform sekolah kami lencun dibasahi peluh.
Dek kerana tiada orang yang akan menjaga adik bongsu lelaki saya yang berumur 4 tahun di rumah ketika itu, Umie akan membawa adik saya untuk sama-sama menghantar saya dan Kak Ngah ke sekolah. Dan yang paling saya menyampah dengan adik saya ketika itu ialah perangai tantrumnya yang sangat mengada-ngada!
Jalan sikit dia dah mula merengek kepenatan. Tak sampai separuh dari perjalanan kami ke sekolah, adik bongsu saya akan mula mengamuk-ngamuk mintak Umie dukung dia. Sebab tak nak saya dan Kak Ngah lambat ke sekolah, Umie akan akur dengan permintaan adik bongsu saya. Umie akan mendukung adik bongsu saya di sepanjang perjalanan kami ke sekolah.
Balik dari sekolah pun sama. Adik saya akan mengamuk-ngamuk menangis mintak Umie dukung dia. Ada satu hari tu, adik saya mengamuk di tengah-tengah perjalanan pulang kami dari sekolah.
Minta Ayam Kentucky
Dia tak nak didukung Umie. Menangis menjerit-jerit tak nak balik. Puas Umie memujuk tapi dia masih keras macam batu berdiri atas jalan. Akhirnya Umie berjanji akan membelikan dia ayam goreng Kentucky di pasar malam petang nanti untuk memujuk adik saya pulang ke rumah.
Dalam hati saya merengus-rengus marah. Saya rasa nak cepuk-cepuk je dahi adik saya. Mengada-ngada! Nak ayam goreng Kentucky baru nak balik rumah!
Masa tu keluarga kami bukan senang. Abah hanya bekerja sebagai pegawai polis. Umie tidak bekerja. Kami punya abang-abang dan kakak atas kami yang masih belajar dan kesemuanya memerlukan duit.
Duit belanja yang Abah bagi dekat Umie hanya cukup-cukup untuk belanja kami adik beradik. Ayam goreng Kentucky tu satu makanan “mewah” untuk kami ketika itu dan bukannya boleh dibeli dengan sesuka hati!
Adik Merengek
Petang tu seperti yang Umie janjikan adik bongsu saya mula merengek-rengek minta dibelikan ayam goreng Kentucky.
Pukul 6.30 petang kami tiga beradik sudah bersiap-siap untuk pergi ke pasar malam beli ayam goreng Kentucky. Adik saya yang paling excited.
Sebelum keluar dari rumah Umie sudah berpesan, setiap seorang dari kami hanya boleh beli seketul ayam goreng sahaja. Tak boleh beli makanan atau barang lain.
Adik saya mengangguk-angguk macam burung belatuk. Saya hanya menjeling tajam memandangnya ketika itu. Suka menyusahkan Umie!
Sampai di gerai yang menjual ayam goreng Kentucky, Umie bertanyakan harga ayam goreng kepada peniaga gerai tersebut. Satu ketul ayam goreng beharga RM1.00. Duit di tangan Umie ketika itu hanya ada RM10.00. Itulah duit yang Abah berikan kepada Umie untuk membeli lauk yang akan dimasak untuk juadah makan malam kami hari itu.
Di sebelah tray ayam goreng tu ada satu lagi tray yang mengandungi kaki ayam goreng.
“Yang ini berapa?”, Umie bertanya kepada peniaga ayam goreng itu lagi.
“RM1.00 dapat sepuluh kaki ayam, kak.”
“Bagi saya yang inilah seringgit,” ujar Umie kepada peniaga ayam goreng sambil menghulurkan duit seringgit kepadanya.
Sebaik sahaja dapat sebungkus plastik kaki ayam, Umie menyerahkan plastik tersebut kepada adik saya. Adik saya tersengih macam kerang busuk.
Umie ajak kami singgah ke gerai menjual ikan dan sayur untuk membeli lauk yang Umie akan masak untuk makan malam kami.
Selesai membeli sedikit ikan selar dan sayur, kami empat beranak berjalan pulang ke kuarters polis Padang Hiliran.
Adik Merengek Lagi
Masa nak balik ke rumah adik saya merengek-rengek lagi. Dia mintak dengan Umie berhenti tepi jalan sebab nak makan ayam goreng yang dibeli tadi.
Umie ajak kami duduk di bawah pokok di tepi jalan. Umie keluarkan kaki ayam dari plastik tersebut dan membahagikan kaki ayam itu kepada kami. Petang itu kami tiga beradik dapat makan kaki ayam goreng pasar malam sambil tengok matahari terbenam.
Adik sayalah yang paling gembira dapat makan kaki ayam goreng pasar malam. Masa tu dia tak boleh bezakan lagi kaki ayam goreng dengan bahagian ayam goreng yang lain.
Saya dan Kak Ngah terkekek-kekek ketawa melihat adik kami yang terkial-kial menggigit kaki ayam goreng pasar malam yang agak liat. Masa tu gigi dia rongak, banyak yang rosak sebab dia selalu mengamuk tak nak gosok gigi walaupun dipaksa Umie.
Dan sungguh, itulah kaki ayam goreng yang paling sedap yang pernah saya makan seumur hidup saya!
Satu Bucket Ayam Goreng Kentucky
Hari ini, Allah berikan sedikit kelapangan rezeki untuk kami adik beradik mampu untuk membeli satu bucket ayam goreng Kentucky. Namun nikmat ayam goreng yang kami makan hari ini tidak pernah sama dengan nikmat kaki ayam goreng pasar malam yang pernah kami kongsi 21 tahun yang lalu!
Maka benarlah kata-kata Hamka yang berbunyi:
“Dan lihatlah bagaimana Allah membahagi-bahagikan nikmatnya”.
Ramai orang tersalah sangka tentang maksud ketenangan dalam hidupnya.
Selalu orang mengaitkan ketenangan itu dengan faktor harta, dengan faktor kekayaan.
Walaupun itu boleh jadi penyumbang tetapi itu bukan segala-galanya.
Ujian Rezeki
Betapa ramai orang yang berada dalam rumah yang besar, tidur di atas katil yang empuk, tetapi dia tidak lebih enak ataupun lenanya tidak nyenyak.
Bahkan ada orang yang tidur di pondok buruk, kadang-kadang dia lebih lena dari kita.
Ada orang yang berada di hadapannya hidangan yang hebat, lauk-pauk yang bagus, tetapi lidahnya tidak enak.
Lebih enak lagi orang yang makan kadang-kadang dengan satu dua mata lauk tetapi dia lebih sedap dan selesa makannya.
Semua orang sangka kalau orang itu ada rumah besar, ada makanan yang sedap, tentulah hidupnya bahagia dan tenang.
Belum tentu!
Dalam ujian rezeki yang sedikit pada ketika itu Allah berikan kecukupan kepada kami dan kelapangan hati.
Setiap kali saya teringat akan Kisah Kaki Ayam Goreng Pasar Malam 21 tahun yang lalu buat saya muhasabah diri sendiri.
Saya selalu nak bersyukur kalau saya diberi benda baru sehingga saya lupa bahawasanya apa yang ada pada saya hari ini suatu nikmat yang besar!