Baru-baru ini, seorang lelaki bernama Yan Mable berkongsi pendapatnya dalam kumpulan Facebook popular, JB柔佛吹水站, mengenai berapa gaji sebulan yang diperlukan untuk menyara keluarga di tahun 2025.
Menurut Yan, kos hidup kini amatlah tinggi sehingga segala-galanya nampak mustahil jika seseorang tidak cukup kukuh dari segi kewangan.
Yan terus terang menyarankan bahawa jika gaji bulanan tidak mencecah sekurang-kurangnya RM15,000, seseorang itu perlu fikir masak-masak sebelum bercadang untuk berkahwin atau membina keluarga.
“Kalau tak mampu buat RM15,000 sebulan, tak payahlah bercinta, tak payah susahkan anak orang. Jangan sampai nanti keluarga sendiri yang terpaksa pikul beban,” tegas Yan dalam catatannya yang meraih perhatian ramai di media sosial.
Yan juga berkongsi pandangannya tentang hubungan dengan mertua, di mana beliau percaya bahawa bakal ibu mertua pastinya tidak akan senang jika bakal menantunya kurang berkemampuan.
Bagaimanapun, katanya, golongan yang lebih tua biasanya pilih untuk diam daripada berterus terang.
Tambahnya lagi, tanpa pendapatan yang stabil, banyak perkara akan menjadi ‘terhad’.
“Kalau tak ada duit, anak-anak mungkin hanya akan bercuti ke Klang sedangkan kawan-kawan mereka melancong ke Paris,” sindirnya secara sarkastik.
Sebagai perbandingan, Yan turut memberikan anggaran kasar kos bulanan bagi sebuah keluarga kecil yang mempunyai empat orang ahli.
Katanya kira-kira RM23,700 diperlukan untuk menampung segala keperluan asas seisi keluarga—angka yang pastinya mengejutkan ramai.
Yan turut menyatakan, bagi seorang yang benar-benar bertanggungjawab, tugas seorang lelaki ialah menjadi ‘breadwinner’ dalam rumah, membayar segala bil termasuk pinjaman kereta isteri.
Katanya, pada zaman dahulu, RM600 sudah cukup untuk menyara keluarga sebulan, tetapi kini, RM6,000 mungkin hanya cukup untuk seorang individu sahaja.
Yan juga menyentuh soal gaya hidup yang diharapkannya sebagai seorang bapa, termasuk kemampuan untuk membawa keluarga makan di restoran atau menikmati fine dining setiap hujung minggu.
Beliau turut menambah bahawa seorang bapa yang bertanggungjawab mampu membeli barang mewah seperti Balenciaga untuk anak-anak, mendidik mereka untuk memahami erti kekayaan dari usia muda.
“Kalau tak mampu, bersedialah untuk anak-anak biasa dengan nasi campur setiap hari dan tak pernah jejak restoran mahal,” tambah Yan dalam nada sinis.
Dalam persekitaran ekonomi yang kian mencabar, kenyataan Yan mungkin mencerminkan kekecewaan segelintir rakyat Malaysia yang berasa terbeban oleh peningkatan kos sara hidup.
Pandangan ini turut membuka perbincangan tentang realiti kewangan anak muda masa kini dalam membina kehidupan keluarga di tengah-tengah kos yang semakin meningkat.