Baru-baru ini tular isu seorang anggota polis trafik meminta RM100 sebagai ‘duit kopi‘ daripada pasangan warga UK selepas memandu melebihi had laju. Pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menyatakan pihaknya sedang menyiasat insiden terbabit tanpa sebarang tolenrasi.
Bagaimanapun, pasangan UK itu bukanlah sahaja yang kena. Kini tular satu lagi klip video pasangan warga Australia diberi pilihan untuk membayar denda dengan ‘harga diskaun‘.
Baca Juga:
- JSPT Bukit Aman Siasat Polis Trafik ‘Minta RM100’
- Netizen Percaya Pegawai Trafik Ini Ambil Duit Kopi Daripada YouTuber UK
- Tular Video Polis Disyaki Minta ‘Duit Kopi’, Kertas Siasatan Tatatertib Dibuka
Menerusi vlog YouTube Travel with Luke Damant, pada minit ke-36:41 video yang dimuat naik pada awal November 2023, dia ditahan seorang polis kerana menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar.
Kemudian anggota terbabit menyatakan warga Australia itu perlu membayar saman sebanyak RM300 di balai polis terdekat serta-merta.
“Awak perlu membayar denda serta-merta kerana awak seorang pelancong. Jika awak orang tempatan, awak mempunyai masa satu bulan untuk selesaikan denda tersebut,” kata polis terbabit kepada Luke.
Kemudian, anggota penguatkuasa itu memberikan pilihan kepada Luke sama ada mahu mengikutnya ke balai polis yang jaraknya sejauh 10 kilometer untuk selesaikan saman atau dapatkan ‘diskaun’ di situ.
Luke memilih untuk membayar ‘diskaun’. Dia menyatakan sama ada RM100 mencukupi kerana bimbang akan ditahan lagi oleh polis yang lain.
Bagaimanapun anggota berkenaan memintanya mendapatkan topi keledar kerana jarak ke balai polis agak jauh. Katanya lagi, agak berbahaya buat keselamatan Luke yang menaiki motosikal tanpa topi keledar.
Kemudian mereka membuat ‘transaksi’ di lorong belakang berhampiran lokasi Luke dan pasangan ditahan.
Selepas itu dia segera ke kedai berhampiran dan mendapatkan sebuah topi keledar half-face yang berharga RM50 — sekurang-kurangnya dapat mengelakkan dirinya daripada ditahan lagi.
Jelasnya lagi, dia langsung tidak menyangka polis di Malaysia agak tegas berbanding di Bali ketika menaiki motosikal tanpa topi keledar.