Sebuah papan putih dengan peringatan masa menunggu 5 jam di salah sebuah hospital tempatan tular di media sosial hari ini.
Gambar bersama notis tersebut telah dimuat naik oleh Syahid Said, di laman Facebook peribadi beliau.
“Katanya berlaku di Hospital Kulim, betulkah?” Soal beliau.
Papan putih tersebut menyatakan bahawa disebabkan kekurangan doktor, masa menunggu untuk orang awam berjumpa doktor adalah 5 jam.
“Selamat pagi, minta maaf. Kami menghadapi kekurangan doktor. Masa menunggu doktor sampai 5 jam.
“Doktor kami kerja sampai naik pengsa & sakit masih kerja. Ada yang sudah letak jawatan, pergi swasta.
“Kami ingin berkhidmat untuk rakyat. Tetapi kami juga manusia, boleh penat dan sakit. Harap tuan-tuan & puan-puan faham. Minta maaf,” kata notis tersebut.
Sejak tular, pelbagai reaksi netizen hadir dengan sebahagiannya bersimpati dengan para doktor.
Manakala sebahagian lagi bersimpati dengan para pesakit yang memerlukan pemerhatian segera doktor.
Netizen yang lain pula mencadangkan agar sistem kesihatan di Malaysia tidak disubsidikan sepenuhnya, ini bagi memastikan bahawa rakyat Malaysia lebih menghargai kesihatan diri.
Sejak tular, tiada apa-apa kenyataan dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Namun melihat daripada reaksi masyarakat, satu perubahan dasar diperlukan untuk menyelesaikan isu yang sudah berlarut ini.