AirAsia baru sahaja buka laluan ke Kertajati menjadikan ia syarikat penerbangan antarabangsa pertama yang mendarat di lapangan terbang kedua terbesar Indonesia.
Susulan itu, saya telah berkesempatan menerokai beberapa destinasi menarik di wilayah Kertajati selama 5 hari 4 malam dengan ke 3 daerah iaitu Ceribon, Kuningan dan Majalengka. Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA (Terminal 2) ke Kertajati hanya mengambil masa selaam 2 jam 15 minit.
Baca Juga:
- Dari Utara Ke Selatan, Ini 10 Destinasi ‘Must Visit’ Jika Anda Ke Taiwan
- Jalani Ibadah Puasa Di Turkiye, Ini Apa Yang Saya Pelajari Sepanjang Di Sana
- Sarat Dengan Aktiviti, Ini 3 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Sebelum ‘Healing’ Atas Kapal Cruise
@mimieyuzi This is West Java, Indonesia. Such a beautiful place ❤️ #fyp #CapCut #enjoylife #randompost #happiness #happylife #love #westjava #indonesia #bluelake #fypシ #travel #visitindonesia #wonderfulindonesia #foryou #foryourpage #healing
Walaupun Kertajati tidaklah terkenal seperti Bandung tetapi pengalaman ke sini tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Untuk pengetahuan anda, ini pertama kali saya mengetahui akan destinasi ini dan rupa-rupanya banyak tempat menarik boleh dikunjungi.
Mari saya kongsikan keistimewaan 3 daerah yang saya terokai dan tempat-tempat pilihan yang bagi saya ‘worthy’ untuk diterjah. Jom kita mulakan.
Ceribon, daerah yang kaya dengan warisan budaya
Ceribon terletak di bahagian timur wilayah Jawa Barat dan ia dikenali sebagai Kota Wali dan Kota Udang. Selain kota yang dipenuhi dengan nilai sejarah, ia juga kaya dengan warisan budaya dan seni.
1. Gua Sunyaragi
Gua Sunyaragi atau Taman Sari Sunyaragi ini merupakan tapak bersejarah yang terdapat di Cirebon dan uniknya ia kerana menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan struktur buatan manusia.
Dapat dilihat, banyak seni bina yang unik di sini dimana bangunannya dibuat dari batu karang dan terdapat juga mitos serta sejarah yang boleh dipelajari jika ke sini.
2. Kampung Batik Trusmi
Bagi anda yang mahu melihat kelainan batik Indonesia terutama sekali di daerah Cirebon, Kampung Batik Trusmi inilah tempatnya. Malah, Kampung Batik Trusmi juga mendapat pengiktirafan UNESCO.
Di sini, anda boleh melihat proses penghasilan batik dan mencuba untuk membuat batik serta membeli-belah produk mereka. Terdapat muzium untuk anda kunjungi juga dimana memaparkan koleksi batik dan juga info menarik untuk anda ketahui berkaitan batik Trusmi.
3. Keraton Kacirebonan
Keraton Kecirebonan adalah sebuah bangunan yang merupakan tempat tinggal sultan Kacirebonan dan keluarganya yang berada di daerah Pulasaren. Bangunan kolonial ini telah wujud sejak tahun 1807.
Pengunjung bukan sahaja boleh mengamati keindahan struktur bangunannya tetapi boleh juga belajar tentang sejarah dan tradisi Kesultanan Cirebon. Anda boleh juga melihat tarikan topeng di sini yang pastinya akan membuat anda tergamam.
Kuningan, daerah yang kaya dengan keindahan alam semulajadi
Kuningan merupakan salah satu pintu gerbang masuk ke Jawa Barat dari sebelah timur, bersama dengan daerah Ciamis, Cirebon dan Pangandaran. Dikenali sebagai Kota Kuda, Kuningan antara salah satu daerah di Jawa Barat yang memiliki banyak destinasi wisata alam.
1. Gedung Naskah Linggarjati
Gedung Naskah Linggarjati adalah tempat dimana Perjanjian Linggarjati dirunding dan ditandatangani pada tahun 1946. Perjanjian ini memainkan peranan penting dalam perjuangan kemerdekaan Indonesia daripada pemerintahan penjajah Belanda.
Hari ini, bangunan itu berfungsi sebagai muzium, mempamerkan artifak sejarah dan dokumen yang berkaitan dengan perjanjian dan memberikan pandangan mengenai perjuangan Indonesia untuk kemerdekaan.
2. Telaga Biru Cicerum
Sesuai dengan namanya, ia adalah tasik berwarna biru yang terletak di kaki bukit Gunung Ciremai. Para pengunjung boleh meluangkan masa bersama keluarga dan yang tersayang dengan melakukan aktiviti rekreasi seperti berkelah dan memancing di sini.
Bukan itu sahaja, anda juga boleh menaiki sampan mengelilingi tasik tersebut dan memberi ikan makan. Malah, anda juga boleh bergambar dengan ikan yang terlihat jelas dalam tasik.
3. Desawisata Cibuntu
Desawisata Cibuntu adalah sebuah perkampungan pelancongan budaya yang menawarkan anda pengalaman untuk mengetahui cara hidup Sunda luar bandar.
Bukan sahaja anda dapat belajar tentang adat tempatan dan berinteraksi dengan penduduk kampung, anda juga akan dapat melihat kekayaan warisan budaya di Kuningan.
Majalengka, daerah yang kaya dengan warisan pertanian
Majalengka dikenali sebagai Kota Angin kerana dikatakan bahawa angin kencang sentiasa ada setiap hari di sini. Daerah ini terkenal dengan daya tarikan luar bandar, warisan pertanian, dan banyak lagi.
1. Desawisata Bataragung
Bagi anda yang tidak tahu, Desawisata Bataragung ini merupakan sebuah perkampungan pelancongan sektor pertanian di Majalengka. Para pengunjung dapat melihat pelbagai tanaman seperti padi dan banyak lagi ditanam dilereng bukit.
Anda juga dapat belajar tentang tanaman tradisional di sini dan pastinya setiap tempat di sini sangat Insta-worthy untuk mereka yang gemar untuk bergambar. Tidak hairanlah ia menjadi antara lokasi pilihan ramai pelancong.
2. Curug Cipeuteuy
Terletak di kaki Gunung Ciremai, Curug Cipeuteuy ini akan memberikan anda satu pengalaman yang menenangkan. Nikmati kesejukan air terjun dan dikelilingi alam semulajadi, tempat ini sangatlah sesuai untuk ‘healing’.
Malah, terdapat juga beberapa ‘spot’ untuk anda bergambar di sini. Jika anda berasa dahaga atau lapar, terdapat warung yang menjual minuman dan juga snek ringan untuk anda beli.
3. Terasering Panyaweuyan
Anda akan terpukau melihat keindahan kehijauan tanaman di lereng gunung dan juga memanjat teres tanaman pertanian. Disarankan untuk anda datang pada waktu pagi untuk mendapatkan gambar dan view yang lebih lawa.
Selain itu, anda juga boleh menikmati minumah teh botol atau kopi panas sambil menikmati panorama indah di sini dan anda pasti akan berasa tenang melihat keindahan alam semulajadi di sini.
Walaupun Jawa Barat tidak terkenal seperti Jakarta, Bandung atau Bali di Indonesia, tetapi ia menjanjikan pelbagai daya tarikan terutama dalam mengenal budaya. Jika anda mahukan pengalaman melancong yang penuh kelainan, Jawa Barat adalah lokasi yang anda perlu pertimbangkan untuk terokai.
Ketika ini, penerbangan laluan Kuala Lumpur – Kertajati dengan AirAsia hanya ada pada hari Rabu dan Ahad sahaja. Sebelum terlupa, jika anda belum memiliki BigPay, anda boleh mendaftar dan menggunakan refferal code ini 1GZSREAKLO untuk mendapatkan kredit sebanyak RM5.