Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia terpaksa melupakan baki saingan BWF World Tour Finals 2024 selepas mengalami kecederaan buku lali.
Berdepan Li Shi Feng dari China pada aksi terakhir peringkat kumpulan dimana Zii Jia sudah pun mengesahkan kemaraan ke separuh akhir, nasib jelas tidak memihak beliau.

Baca Juga:
- BWF World Tour Finals 2024: Nasib Berbeza Dialami Tang Jie-Ee Wei, Pearly-Thinaah
- Ini Jumlah Hadiah Wang Tunai Menanti Pemain Di BWF World Tour Finals 2024
- Senarai Pemain Malaysia Yang Layak Ke BWF World Tour Finals 2024
Menang 22-20 dan meninggalkan jauh wakil tuan rumah itu pada set kedua, Zii Jia tanpa disangka-sangka mengalami kecederaan pada buku lali kanannya sewaktu beliau cuba melakukan pukulan balas.
Beliau cuba untuk meneruskan permainan tetapi ketika mata 15-11, Lee Zii Jia sudah tidak berupaya dan memilih untuk menarik diri daripada perlawanan tersebut.
Tidak mampu untuk berjalan, beliau terpaksa dibawa keluar daripada gelanggang dengan bantuan kerusi roda.
Perkembangan yang jelas bukanlah kisah menarik untuk diperkatakan menyaksikan Zii Jia secara rasminya tersingkir daripada persaingan kerana tidak menamatkan permainan.
Dua kemenangan awal diraih juga tidak memberikan sebarang makna kerana peraturan BWF menetapkan kesemua mata diraih pemain yang menarik diri daripada saingan akan dibatalkan.
Ini bermakna Li Shi Feng mara ke separuh akhir bagi mengiringi juara kumpulan iaitu Anders Antonsen dari Denmark.
Diharapkan kecederaan yang dialami Lee Zii Jia tidak terlalu serius kerana tirai 2025 kejohanan BWF bakal bermula seawal 7 Januari dengan penganjuran Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Skuad negara ketika ini sudah mempunyai tiga wakil yang mara ke separuh akhir dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan menambah bilangan wakil negara sekiranya berjaya sekurang-kurangnya mencuri satu set pada aksi terakhir sebentar lagi.